Apa Itu Ratifikasi ICERD? Perlu Atau Tidak Diratifikasi? Kesan International Convention on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination.

Apa Itu Ratifikasi ICERD? Perlu Atau Tidak Diratifikasi?

Mutakhir ini rakyat telah digemparkan dengan isu mengenai ICERD. Apakah sebenarnya maksud ICERD dan apakah kaitannya dengan pentadbiran atau pelaksanaan di negara Malaysia? Mungkin ada di antara kita yang telah pun mengetahui mengenainya tetapi belum cukup jelas untuk memahami tidak kurang juga mereka yang tidak langsung mengerti apa itu Ratifikasi ICERD?

Untuk pengetahuan semua, ICERD merupakan singkatan bagi International Convention on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination yang diterjemahkan sebagai Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum.

Apa Itu Ratifikasi ICERD?

ICERD (International Convention on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination)

Nama dan terma yang digunakan bersifat ilmiah atau akademik ini sebenarnya agak janggal buat masyarakat dan tidak begitu sensitif berikutan makna yang agak berselindung. ICERD sebenarnya telah diluluskan di Perhimpunan Agung PBB pada tahun 1965 lagi dan mula dikuatkuasakan pada tahun 1969.

Objektif utama ICERD ialah hak asasi manusia dan ianya merupakan antara salah satu konvensyen daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Apa Itu Ratifikasi ICERD? Perlu Atau Tidak?

Ratifikasi membawa maksud mengesahkan justeru retifikasi ICERD adalah pengesahan ICERD. Apa yang penting di dalam ICERD adalah mana-mana negara yang telah meratifikasi konvensyen ini mesti menghapuskan segala diskriminasi dalam apa-apa bentuk dan menjamin hak setiap orang tanpa mengira kaum, bangsa dan warna kulit serta memperolehi kesaksamaan dari segi undang-undang yang termaktub dalam Artikel 5 ICERD.

Negara juga akan terikat dengan prinsip undang-undang antarabangsa ‘pacta sunt servanda’. Yang mengikat janji sesebuah negara setelah negara itu meratifikasi sesebuah triti atau konvensyen antarabangsa. Ia bererti sesebuah negara tidak boleh memberi justifikasi bahawa undang-undang domestik negara tersebut menghalangnya daripada memenuhi tuntutan dalam konvensyen atau triti yang telah ditandatangani atau dipersetujui.

Reaksi Pelbagai Pihak

Hal ini yang telah mencetuskan reaksi daripada pelbagai pihak yang mana ada berpandangan bahawa ianya nyata bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan tentang Hak Istimewa institusi Raja-Raja Melayu, orang-orang Melayu, Bumiputra, dan kedudukan agama Islam. Tidak kurang juga mereka yang menyokong retifikasi ini yang mana tidak mempunyai masalah mengenai hak istimewa sedia ada di perlembagaan. Pastinya setiap pendirian mereka mempunyai kepentingan atau konflik tersendiri yang ingin dicapai.

Dalam masa yang sama, ada pendapat yang mengatakan bahawa ratifikasi ini merupakan satu bentuk ‘seni’ tekanan antarabangsa untuk memanjangkan inti pati konvensyen dalam kerangka undang-undang tempatan sekali gus menaruhkan dan membiarkan kedaulatan negara terdedah kepada tekanan secara halus buat jangka masa panjang. Dalam erti kata lain membiarkan campur tangan asing dalam kedaulatan negara

Apa yang ingin dicapai oleh kerajaan adalah toleransi terhadap setiap kaum. Iaitu dengan mengambil berat tentang kepentingan setiap bangsa yang terdapat di Malaysia. Perkara ini sebenarnya boleh dilakukan di peringkat dalaman sendiri. Iaitu dengan cara menggubal undang-undang atau akta berkaitan diskriminasi kaum tanpa mengganggu gugat apa-apa perkara atau peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu, rata-rata golongan bukan Bumiputra yang tidak berpuas hati terhadap kedudukan istimewa Melayu/ Bumiputera. Ini kerana terlalu banyak berlaku salah guna atau salah laku dalam polisi tersebut. Justeru apa yang perlu diperbetulkan oleh kerajaan adalah pengurusan yang lebih telus dan menyeluruh bagi memastikan tidak berlaku salah guna dalam pelaksanaan polisi tersebut.

Diskriminasi Kaum?

Persoalan lain yang timbul benarkah wujud diskriminasi kaum di Malaysia? Atau apakah sebenarnya yang diperjuangkan oleh golongan ini? Adakah pelaksanaan ICERD ini akan memberi faedah ataupun keburukan buat negara kita? Apakah pendirian yang dipegang oleh pihak kerajaan dalam isu ini? Sehingga kini kerajaan masih belum menjelaskan keperluan untuk meratifikasi ICERD. Justeru kita hanya perlu nantikan apa yang bakal diumumkan oleh kerajaan tanpa mencetuskan sebarang kekecohan.

Negara Yang Telah/ Belum Meratifikasikan ICERD

Sehingga kini, terdapat 175 negara anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah meratifikasi konvensyen ini. Tetapi Malaysia yang merupakan ahli PBB dan salah satu daripada ahli Majlis Hak Asasi Manusia, sehingga kini tidak mengambil apa-apa langkah untuk meratifikasi. Malaysia adalah antara 16 negara yang tidak meratifikasikan konvensyen ini bersama dengan negeri-negeri Persekutuan Micronesia, Myanmar,Niue, Republik Palau, Samoa, Singapura, Tuvelu & Vanuatum, Angola, Brunei, Kepulauan Cook, Korea Utara, Dominica, Kiribati dan Kepulauan Marshall.

Kesan Ratifikasi ICERD

Berikut adalah diantara kesan jika ICERD diratifikasi :-

  1. Pindaan atau kajian sistematik undang-undang, peraturan dan dasar yang sedia ada yang mungkin cenderung untuk mengekalkan diskriminasi kaum
  2. Penghasutan diskriminasi kaum dan keganasan kaum boleh menjadi satu kesalahan yang boleh dihukum
  3. Jaminan undang-undang dan penguatkuasaannya terhadap diskriminasi yang berkaitan dengan keselamatan orang, hak-hak politik, pekerjaan, perumahan, pendidikan, atau akses ke kawasan-kawasan dan kemudahan yang dimaksudkan untuk digunakan oleh awam
  4. Mengasaskan program pendidikan yang bertujuan menggalakkan perhubungan yang baik dan toleransi antara kaum dan kumpulan etnik;
  5. Penubuhan institusi dan agensi-agensi untuk berurusan dengan masalah diskriminasi kaum dan untuk melindungi kepentingan masyarakat orang asal

Moga perkongsian di atas dan kesan boleh dijadikan panduan buat semua.

Related : perdana menteri, menteri luar, saifuddin abdullah, kerajaan pakatan harapan, meratifikasi konvensyen antarabangsa mengenai penghapusan segala bentuk diskriminasi kaum icerd, tun dr mahathir mohamad, statut rom, menarik balik,

Tinggalkan Komen

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *