Cara Memelihara Bangunan Bersejarah (Langkah Memulihara). Cara memulihara dan mengekalkan binaan/ bangunan sejarah yang terdapat di Malaysia bagi mengelakkan pupus atau terbiar.

Cara Memelihara Bangunan Bersejarah (Langkah Memulihara)

Sejak kemerdekaan Tanah Melayu pada tahun 1957, negara kita telah berkembang pesat dari segi ekonomi dan sosial. Dengan terbentuknya Malaysia hasil gabungan semenanjung, Sabah dan Sarawak, negara kita telah mencipta nama dipersada dunia. Dengan kekuatan ekonomi yang semakin stabil, negara kita dapat membina beberapa mercu tanda seperti Menara Kuala Lumpur dan Menara Berkembar KLCC. Selepas itu, banyak lagi bangunan-bangunan dibina sejajar dengan kemajuan yang kita kecapi. Bandar-bandar baru dibuka bertujuan untuk mengukuhkan lagi ekonomi negara. Bagaimanakah cara memelihara bangunan bersejarah ini di Malaysia?

Disebalik kemajuan yang kita banggakan ada seperkara yang perlu kita pelihara walaupun negara kita telah mencapai status negara maju. Ia adalah bangunan bersejarah yang seharusnya kita jaga dan pelihara agar tidak ditelan zaman. Sebagai contoh Stadium Merdeka yang kini tidak lagi digunakan untuk aktiviti sukan. Seharusnya bangunan bersejarah seperti itu dikekalkan dan jangan dirobohkan sama sekali. Wujudnya bangunan bersejarah sebagai tanda kita mengingati asal usul kita dan untuk ditontonkan pada generasi muda.

cara memelihara bangunan bersejarah dan memulihara binaan

Cara Memelihara Bangunan Bersejarah Dan Memulihara Binaan Di Malaysia

Bangunan bersejarah merupakan sebuah bangunan yang dibina pada zaman dahulu yang menceritakan evolusi manusia dan memberi nilai sejarah yang berlaku di tanah air kita. Antara contoh bangunan bersejarah di Malaysia adalah Kota A’Famosa, Penjara Pudu, Bangunan Sultan Abdul Samad, Stadium Merdeka, Rumah Almarhum Tan Sri P. Ramlee, Bangunan Sultan Ibrahim JB dan banyak lagi.

Pentingnya bangunan ini dipelihara sebagai tarikan pelancong untuk melihat sendiri monumen-monumen bersejarah yang kita miliki. Ia juga berguna untuk generasi muda melihat sendiri bangunan bersejarah dan mempelajari sedikit sebanyak sejarah Malaysia.

Langkah-Langkah Memulihara Bangunan Bersejarah

Terdapat pelbagai cara memelihara (memulihara) bangunan warisan di Malaysia. Antaranya adalah seperti berikut:

1) Kerajaan

  1. Pengiktirafan daripada badan dunia
    • Kerajaan perlu mendapatkan pengiktirafan daripada badan dunia sperti UNESCO. Sebagai contoh Bandaraya Melaka telah mendapat pengiktirafan daripada UNESCO sebagai salah satu UNESCO Tapak Warisan Dunia pada tahun 2008. Dengan adanya pengiktirafan seperti ini akan menambahkan lagi bilangan pelancong untuk datang ke Melaka. Justeru itu, usaha yang sama boleh dilakukan untuk menaik taraf bangunan bersejarah lain yang ada di Malaysia.
  2. Peruntukan khas kerajaan
    • Kerajaan juga perlu memperuntukkan bajet khas untuk memulihara bangunan bersejarah di Malaysia. Sudah tiba masanya Malaysia mengambil langkah seperti negara maju lain yang memperuntukkan dana dalam belanjawan negara untuk memelihara bangunan bersejarah. Dengan adanya wang yang mencukupi, bangunan bersejarah dapat dinaik taraf bagi menarik perhatian orang luar untuk datang berkunjung. Kemudahan seperti tempat rehat, kedai makan dan sebagainya boleh dibina berdekatan lokasi bangunan bersejarah bagi memudahkan orang ramai yang datang berkunjung.
  3. Galakan daripada syarikat swasta
    • Selain itu, kerajaan juga perlu memberi galakan kepada syarikat-syarikat swasta untuk membantu kerajaan memulihara bangunan bersejarah. Kerajaan boleh menyediakan faedah kepada mana-mana syarikat swasta yang ingin membantu usaha ini. Secara tidak langsung dapat menarik perhatian mereka untuk memberi bantuan tidak kira dari segi kewangan mahupun bantuan fizikal untuk memulihara bangunan bersejarah.

2) Sekolah Dan Universiti

  1.  Sukarelawan
    • Pihak sekolah dan universiti perlu memberi galakan kepada pelajar untuk terlibat dalam usaha untuk memulihara bangunan bersejarah. Sebagai contoh menyertai aktiviti sukarelawan untuk membersihkan dan menaik taraf landskap bangunan bersejarah boleh dilakukan oleh pelajar sendiri. Selain daripada dapat memulihara bangunan bersejarah, ia juga dapat memupuk minat dalam diri pelajar. Pelajar juga boleh menyumbang idea untuk memulihara bangunan bersejarah dengan saluran yang betul.
  2. Lawatan Sambil Belajar
    • Pihak sekolah mahupun universiti perlu mengadakan program lawatan ke lokasi-lokasi bersejarah yang berada di sekitar Malaysia. Jika ramai pengunjung datang ke tempat bersejarah tersebut, yuran masuk yang dikenakan akan digunakan untuk memulihara bangunan bersejarah. Semakin ramai pengunjung datang, semakin stabil sumber kewangan pihak yang menguruskan bangunan bersejarah tersebut. Secara tidak langsung telah membantu memulihara bangunan bersejarah.

3 ) Media Massa

  1.  Promosi bangunan bersejarah
    • Zaman kini, media massa mampu memberi pengaruh yang besar kepada dunia luar. Dengan kuasa yang ada pada pihak media, mereka boleh membuat promosi besar besaran untuk mengajak orang ramai datang ke lokasi-lokasi bangunan bersejarah. Semakin ramai orang tahu tentang kewujudan tempat bersejarah semakin meriah lokasi tersebut seterusnya memberi sumber pendapatan yang mencukupi kepada pihak pengurusan.
  2. Dokumentari
    • Syarikat-syarikat produksi digalakkan untuk membuat dokumentari khas berkisar mana-mana bangunan bersejarah yang wujud di Malaysia. Secara tidak langsung dapat memperkenalkan tempat-tempat bersejarah yang ada di Malaysia. Di dalam dokumentari tersebut boleh lah meyiarkan keindahan tempat bersejarah dan sejarah di sebalik wujudnya bangunan tersebut. Ia dapat menambah info kepada orang awam berkaitan bangunan bersejarah di Malaysia

4) Ibu Bapa

  1. Galakkan daripada ibu bapa
    • Ibu bapa perlulah membawa anak-anak pergi bercuti ke tempat-tempat bersejarah bagi menarik minat dan memupuk sifat cintakan sejarah negara. Secara tidak langsung, ia dapat menambah bilangan pengunjung dan pendapatan syarikat yang menguruskan bangunan bersejarah dan meningkatkan industri pelancongan

5) Kementerian Pelancongan

  1. Pakej pelancongan
    • Kementerian pelancongan perlu menjadikan tempat bersejarah sebagai salah satu lokasi yang perlu dituju oleh pelancong. Ejen-ejen pelancongan perlu memasukkan tempat-tempat bersejarah sebagai salah satu pakej pelancongan mereka. Secara tidak langsung dapat menarik minat pelancong luar tentang sejarah negara kita dan menambahkan lagi sumber pendapatan negara dalam bidang pelancongan

Diharapkan perkongsian cara memelihara bangunan bersejarah dapat membuka mata orang ramai tentang langkah-langkah untuk memulihara bangunan bersejarah. Semoga kita dapat bersama-sama memulihara sejarah kebanggaan kita.

Tinggalkan Komen

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *