in

Faktor Yang Mempengaruhi Guna Tanah Kawasan Kajian

Berdasarkan kepada tajuk tugasan Geografi PT3 2018, pelajar Tingkatan 3 perlu melengkapkan kajian peta mereka dengan mengenalpasti satu jenis guna tanah utama di kawasan kajian dan menghuraikan faktor yang mempengaruhi guna tanah tersebut.

Keperluan kegunaan guna tanah di sesuatu kawasan sentiasa berubah mengikut perkembangan semasa berdasarkan keperluan asas aktiviti manusia di dalam kehidupan. Jenis guna tanah boleh diklasifikasikan kepada bentuk aktiviti seperti perumahan, perindustrian, pertanian, perniagaan, infrastruktur, institusi dan sebagainya.

Faktor Yang Mempengaruhi Guna Tanah di kawasan kajian

Faktor Yang Mempengaruhi Guna Tanah Di Sesuatu Kawasan

Terdapat dua faktor yang mempengaruhi kegiatan ekonomi iaitu faktor fizikal dan faktor kemanusiaan.

  • Faktor fizikal bekaitan dengan faktor alam semula jadi yang sedia ada
  • Faktor yang bukan semula jadi yang dikawal oleh manusia

Berikut adalah ringkasan faktor-faktor yang mempengaruhi guna tanah di sesuatu kawasan berdasarkan kepada contoh guna tanah berikut :-

1. FAKTOR YANG MEMPENGARUHI GUNA TANAH

PERINDUSTRIAN

Ianya merupakan salah satu sektor penting dalam pembangunan harta tanah di Malaysia pada masa kini. Perkembangan pembangunan sektor industri menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negara masa kini.

Berikut adalah faktor yang mempengaruhi guna tanah perindustrian di sesuatu kawasan :-

  • a) Lokasi : Perletakan kawasan perindustrian adalah penting kerana lokasinya akan memberi kesan kepada pembangunan lain di persekitarannya. Pembinaan kilang-kilang dan gudang-gudang memerlukan kawasan yang strategik dan sesuai di mana lokasinya mudah diakses oleh organisasi atau firma yang memerlukan hasil daripada pengoperasian pembangunan tersebut. Oleh itu, kedudukan industri yang sesuai dengan lokasinya akan memberi kesan kepada firma khususnya kesan ke atas kos dan untung firma tersebut, Lokasi industri yang tidak sesuai akan menyebabkan kenaikan kos, kelewatan tempoh masa dan jarak perjalanan yang panjang bagi pengangkutan. Tapak yang mempunyai kemudahsampaian yang tinggi adalah sesuai untuk pembangunan kerana ia berpotensi untuk memberi pulangan kepada pelaburan projek pembangunan serta menghasilkan nilai pasaran yang tinggi.
  • b) Kemudahan Infrastruktur : Kemudahan infra yang kukuh merupakan pra syarat bagi pembangunan ekonomi dan pertumbuhan industri yang mampan. Ianya termasuk kemudah elektrik, telefon dan air
  • c) Sumber Bahan : Mudahnya mendapat bahan mentah, bahan mineral, bahan asas pembuatan di kawasan sekitar
    • Bahan mentah menggalakkan perindustrian :-
      • Petroleum : industri membersihkan petroleum, bahan bakar kenderaan, polimer, cat dan minyak pelincir
      • Gas asli : industri membuat bahan bakar kenderaan dan baja urea
      • Kaolin : industri barangan tembikar, jubin dan pinggan
      • Kayu balak – industri venir dan perabot
      • Kelapa sawit – industri memproses minyak sawit untuk membuat majerin dengan sabun
      • Getah – industri memproses susu getah , membuat sarung tangan , kasut , dan tilam
      • Nanas – industri mengetin nanas dan makanan
      • Perikanan – industri membuat keropok dan ikan masin
  • d) Buruh : Wujudnya buruh mahir, separuh mahir dan tidak mahir di kawasan sekitar. Buruh merupakan tenaga penggerak dalam proses perancangan, pengeluaran, pengurusan dan pemasaran
  • e) Populasi : Terdapat permintaan dari penduduk sekitar.

2. FAKTOR YANG MEMPENGARUHI GUNA TANAH

PERTANIAN

Kawasan yang mempunyai ciri-ciri berikut akan membentuk guna tanah pertanian di kawasan tersebut :-

  • a) Bentuk Muka Bumi : Jenis tanah pamah sesuai ditanami padi manakala kawasan beralun sesuai untuk penanaman getah dan kelape sawit. Kawasan yang terletak di pinggir laut pula sesuai ditanam dengan pokok kelapa
  • b) Jenis Tanah : Ianya mempengaruhi jenis tanaman yang dapat diusahakan. Contoh, tanah alivium sesuai ditanam padi sawah manakala tanah laterik yang bersaliran baik sesuai ditanami getah. Tanah gambut pula sesuai ditanami nanas dan tanah beris (campuran tanah liat dengan pasir) sesuai ditanam dengan tembakau, kelapa dan gajus.
  • c) Cuaca (Iklim) :Malaysia mengalami iklim khatulistiwa iaitu cuaca panas dan berhujan. Jenis tanaman seperti padi, getah, kelapa sawit, koko, nanas, kopi dan lada hitam sesuai ditanam dikebanyakkan tempat.
    • Cuaca sejuk dengan suhu yang sederhana, iaitu kira-kira 18 darjah celsius di kawasan tanah tinggi seperti Tanah Tinggi Cameron dan Kundasang sesuai bagi penanaman teh, sayur sayuran dan bunga
    • Cuaca yang panas sepanjang tahun menggalakkan akitiviti penangkapan ikan

3. FAKTOR YANG MEMPENGARUHI GUNA TANAH

PERIKANAN

Ianya terbahagi kepada

  1. Perikanan pinggir pantai
  2. Laut dalam
  3. Akuakultur air tawar
  4. Akualultur air payau/air masin

Faktor yang mempengaruhi sektor pertanian adalah seperti berikut :-

a) Faktor Fizikal

  • Lokasi kedudukan Malaysia yang dikelilingi oleh laut yang cetek seperti Laut China Selatan dan Selat Melaka. Laut yang cetek kurang daripada 180 meter membolehkan cahaya matahari sampai ke permukaan laut, menggalakkan pertumbuhan dan pembiakan plankton dan zooplankton iaitu sumber makanan ikan yang utama membolehkan ikan dapat membiak
  • Pinggir pantai yang panjang dan berteluk-teluk sesuai dijadikan kawasan pembiakan ikan kerana terlindung daripadatiupan angin. Juga sesuai untuk dibina pelabuhan-pelabuhan perikanan seperti Kuala Perlis di Perlis, Kuala Kedah di Kedah dan Tok Bali di Kelantan.

b) Faktor Kemanusiaan

Tenaga buruh yang murah mudah didapati samada mahir dan separa mahir kerana ianya merupakan kerja tradisi bagi penduduk di tepi pantai. Latihan yang diberikan sama ada latihan jangka pendek (kurang daripada 3 bulan) mahupun latihan jangka panjang (lebih daripada 6 bulan – diploma). Contoh : Pusat latihan di Chendering Terengganu yang dikendalikan oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia – LKIM

Permintaan yang tinggi untuk bahan mentah daripada industri hiliran yang berkaitan seperti industi membuat ikan sardin, keropok, ikan kering, dan industri membuat makanan kucing (friskies)

Pengeksportan udang harimau ke negara luar seperti Jepun juga menyebabkan berlaku imbangan pembayaran dan pengaliran masuk mata wang asing ke Malaysia.

c) Jaringan Sistem Pengangkutan

Kemudahan jalan pengangkutan yang baik terutamanya jalan raya membolehkan ikan diangkut ke pasaran tempatan dengan cepat. Ini dapat menjaga kesegaran ikan. Di samping itu kemudahan lori awet dingin juga menentukan kesegaran ikan dibawa ke pasaran.

Untuk pasaran luar, jalan laut digunakan. Ikan diangkut menggunakan kapal yang dilengkapi dengan kemudahan bilik awet dingin yang dikendalikan oleh MISC. Kos pengangkutan juga murah.

d) Dasar Kerajaan

Penubuhan LKIM adalah berperanan membina kompleks pendaratan ikan dan kilang ais untuk  kemudahan nelayan mendaratkan ikan dan menjual hasil tangkapan tanpa melalui orang tengah.

Mewujudkan kawasan tukun tiruan iaitu kawasan pembiakan ikan akan menambahkan bekalan ikan. Tukun-tukun dihasilkan daripada tayar-tayar terpakai, konkrit batu dan kapal-kapal karam.

4. PETEMPATAN (KEDIAMAN/ PERUMAHAN)

Faktor penting yang mempengaruhi guna tanah kediaman adalah seperti berikut :-

a) Bentuk muka bumi

Pembinaan rumah di kawasan tanah tinggi mempunyai risiko yang sangat tinggi dimana struktur tanah perlul dikaji terlebih dahulu dalam mengetahui kekuatan dan keadaan tanah tersebut. Ianya juga memerlukan kos pembinaan yang tinggi seperti kos kerja-kerja pemotongan bukit dan membuat tembok penahan bagi mengelakkan berlakunya hakisan tanah dan tanah runtuh.

Pembinaan rumah di kawasan tanah pamah (tanah rata) menjadi pilihan penting berbanding di kawasan tanah tinggi atas faktor kos dan juga kemudahan membina serta penghantaran barangan yang mudah.

b) Infrastruktur

Kemudahan sedia ada di sesuatu kawasan juga mempengaruhi pembangunan guna tanah kediaman yang sekaligus anda membuat aktiviti seharian. Contoh seperti jalan raya, taman permainan, jaringan kemudahan telekomunikasi lampu jalan, lampu isyarat, hentian bas dan lain-lain.

Kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik yang tersedia juga mempengaruhi faktor guna tanah kediaman. Faktor lain termasuk kemudahan pendidikan, peluang pekerjaan, kesihatan, pengangkutan awam dan banyak lagi.

c) Keselamatan

Faktor keselamatan juga merupakan perkara penting yang perlu dititikberatkan di mana rumah kediaman yang dibina berdekatan dengan balai polis, balai bomba dan agensi lain adalah lebih selamat. Kawasan kejiranan yang tersusun dan mempunyai jiran berdekatan juga dapat memastikan keselamatan anda terjamin.

d) Estetika

Kawasan yang mempunyai keindahan dan kebersihan kawasan seperti landskap yang cantik dan dipenuhi flora dan fauna dapat memberi ketenangan kepada kita sekaligus membuatkan kita sentiasa kekal sihat dan aktif.

e) Peluang pekerjaan (Ekonomi)

Kepesatan pembanguan sektor ekonomi moden seperti perindustrian dan perkhidmatan mewujudkan peluang-peluang kerja dan menggalakkan migrasi penduduk ke kawasan tersebut. Kewujudan peluang pekerjaan serta ekonomi di kawasan sekitar akan mewujudkan pembangunan guna tanah kediaman di kawasan berhampiran. Ianya mengakibatkan proses migrasi dimana mereka yang berhijrah memerlukan tempat tinggal.

f) Sumber alam/ bahan mentah

Dengan adanya sumber, perkembangan kawasan dapat dipertingkatkan melalui aktiviti-aktiviti seperti perlombongan dan perindustrian, seterusnya menjadikan kawasan tersebut memerlukan guna tanah kediaman sebagai kawasan tempat tinggal. Contoh : sumber petroleum telah mewujudkan bandar memproses gas asli di Kerteh.

5. FAKTOR YANG MEMPENGARUHI GUNA TANAH

PELANCONGAN

Perkembangan pesat sektor pelancongan di Malaysia adalah disebabkan oleh beberapa faktor :-

a) Faktor alam fizikal

Malaysia mempunyai pulau-pulau, pantai-pantai dan taman maritim yang cantik untuk menarik kemasukkan pelancong ke negara ini.antaranya seperti Pulau Langkawi,,Pulau Pangkor, Pulau Tioman, Pulau Sibu dan Pulau Kapas. Keindahan persekitaran fizikal pulau seperti pantai yang berpasir halus, laut yang cetek dan jernih, terumbu karang,serta hidupan laut yang beraneka jenis menjadi daya tarikan kepada pelancong asing menuju ke destinasi tersebut untuk melakukan aktiviti seperti menyelam, berenang, bersantai,dan sebagainya.

b) Iklim

Mempunyai tarikan semula jadi kawasan tanah tinggi seperti pemandangan yang cantik dan suhu yang sejuk dan nyaman seperti di Genting Highlands, Cameron Highlands dan Kundasang. Ianya bukan sahaja mempunyai pemandangan yang cantik dan sejuk malah sesuai untuk pelbagai jenis aktiviti penanaman seperti teh, sayur dan bunga

c) Faktor alam sekitar manusia

Terdapatnya tarikan tempat-tempat bersejarah (arkeologi) seperti Kota AFamosa, Makam Mahsuri , Kota Johor Lama

d) Seni dan budaya

Pelancongan berasaskan kepada ciri budaya masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan unik menjadi faktor menarik pelancong datang ke Malaysia

e) Kemudahan pengangkutan dan perhubungan

Kemudahan seperti jalan raya, lapangan terbang bertaraf antarabangsa dan kemudahan feri untuk membawa pelancong secara berterusan juga mempengaruhi perkembangan kegiatan pelancong di negara ini.

f) Kemudahan prasarana

Kemudahan perkhidmatan tempat penginapan, kemudahan beriadah dan bersukan serta membeli belah dapat mempengaruhi perkembangan pelancongan

6. PERNIAGAAN

  • Peningkatan taraf hidup (penduduk berpendapatan tinggi mmepunyai kuasa membeli yang tinggi)
  • Kemudahan infrastruktur sediada (jalan raya, surau, tempat letak kereta, tempat pembuangan sampah),
  • Pasaran tempatan yang besar di sekitar kawasan kajian (banyak kawasan perumahan, penduduk padat),
  • Pertambahan penduduk ( kawasan kajian dan sekitar semakin berkembang, penduduk semakin ramai)
  • Darjah ketersampaian yang tinggi (banyak laluan atau rangkaian jalan raya, dekat dengan jalan-jalan utama)

7. FAKTOR YANG MEMPENGARUHI GUNA TANAH

PEMBINAAN

a) Pertumbuhan Demografik

  • Bilangan penduduk yang kian bertambah akan menyumbang kepada jumlah tenaga kerja dan meningkatkan pembelajaan dalam ekonomi. Secara tidak langsung,permintaan bagi keperluan asas manusia juga meningkat. Produk yang merupakan keperluan asas atau berkaitan dengannya perlu ditambah bagi memenuhi permintaan. Sebuah rumah tidak lagi mampu memuatkan ahli keluarga yang kian bertambah atauyang telah mendirikan rumahtangga, maka rumah baru adalah amat diperlukan.
  • Begitu juga dengan pertambahan guna tenaga akibat pertambahan penduduk. Hal ini akan menyebabkan permintaan yang meningkat kepada bangunan komersial dan perindustrian seperti ruang pejabat dan kilang-kilang. Segala permintaan produk industri pembinaan akan meningkat bagi menampung jumlah penduduk yang kian bertambah. Dengan ini industri binaan dapat dibantu oleh pertumbuhan demografik kecuali dalam negara-negara yang mempunyai kepadatan penduduk yang terlampau tinggi seperti India

b) Kemampuan Pengguna

  • Faktor ini lebih berkenaan dengan perumahan, khasnya perumahan kos rendah dan sederhana rendah. Harga perumahan sepatutnya sewajar dengan pendapatan rakyat. Bagaimanapun, perumahan kos rendah dan sederhana rendah yang terlalu banyak akan membawa kesan yang negatif kepada industri binaan kerana perumahan kos rendah dan sederhana mempunyai margin keuntungan yang rendah ataupun tidak untung. Terdapat keadaan cross subsidy di mana pemaju meninggikan kerugian daripada jualan rumah kos rendah

c) Bekalan dan Harga Bahan Binaan

  • Sesuatu projek memerlukan bahan binaan untuk menjalankan aktiviti pembinaan. Keadaan penawaran bahan binaan yang ketat akan memperlambatkan proses pembinaan, seterusnya menyebabkan kos pembinaan yang tinggi. Bekalan bahan binaan yang berterusan akan memantapkan harga bahan. Oleh itu,kontraktor yang besar akan cuba untuk menghasilkan bahan binaan mereka sendiri untuk mengelakkan ketidaktentuan bekalan

d) Lain-Lain

  • Polisi dan peruntukkan kerajaan
  • Kemudahan dan kadar pinjaman

8. FAKTOR YANG MEMPENGARUHI GUNA TANAH

PENGANGKUTAN

Pembinaan jalan-jalan dan kemudahan sistem pengangkutan di dalam dan di luar bandar memberi akses jalan masuk kepada sesuatu kawasan dan seterusnya memudahkan pengaliran pengaruh terhadap pembangunan dan unsur-unsur pemodenan.

a) Bentuk Muka Bumi

  • Pembinaan jalan raya dan jalan kereta api sesuai dibina di kawasan tanah pamah, lembah sungai dan pinggir pantai. Pantai barat Semenanjung Malaysia yang luas dan rata memudahkan pembinaan jalan raya dan jalan kereta api.
  • Kawasan yang mempunyai kawasan hutan yang tebal, tanah tinggi, bergunung-ganang dan berpaya menjadi penghalang bagi pembinaan jalan raya dan jalan kereta api. Contohnya di bahagian tengah Semenanjung Malaysia dan kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.

b) Kegiatan Ekonomi

  • Jaringan pengangkutan yang cekap perlu untuk proses penghantaran barangan ke pasaran atau pelabuhan untuk dieksport. Kawasan yang mempunyai sumber mineral dan sumber hutan biasanya dihubungkan dengan jalan raya dan jalan kereta api untuk memudahkan pengangkutan bahan mentah.
  • Kawasan pertanian dan kawasan perindustrian juga mempunyai jaringan jalan raya dan jalan kereta api yang lebih padat dan baik serta tersusun

c) Keperluan Pengguna

  • Kawasan yang kepadatan penduduk yang tinggi selalunya mempunyai jaringan jalan raya dan jalan kereta api yang lebih baik dan sistematik
  • Pantai Barat Semenanjung Malaysia mempunyai jaringan jalan raya dan jalan kereta api yang lebih baik dan banyak berbanding kawasan-kawasan lain di Malaysia.

d) Kemajuan Teknologi

  • Perkembangan teknologi moden elah membantu menjimatkan kos pembinaan pengangkutan dan perhubungan.
  • Kos yang lebih murah akan membolehkan pembinaan lebuh raya, terowong, jambatan dan pelabuhan.

e) Lain-Lain Faktor

  • Kemajuan kehidupan dan budaya manusia.
    • Sistem pengangkutan merupakan salah satu faktor penggerak utama dalam pembangunan negara yang secara langsungnya dapat meningkatkan kualiti hidup sosial
  • Pertumbuhan dan pembangunan sosioekonomi yang berterusan
    • Pertambahan tempat tinggal, tempat bekerja atau belajar, tempat membeli-belah dan tempat beristirahat memerlukan suatu sistem pengangkutan
  • Perkembangan bandar
    • Ianya telah mewujudkan peluang pekerjaan, meningkatkan permintaan perumahan dan memperbanyakkan pejabat. Semuanya ini memerlukan sistem pengangkutan yang baik bagi membolehkan orang ramai untuk bergerak ke sesuatu kawasan

9. FAKTOR YANG MEMPENGARUHI GUNA TANAH

PERKHIDMATAN

Dikenali sebagai sektor ekonomi tertiar atau peringkat ketiga. Ianya merupakan sektor yang tidak mengeluarkan barangan sebaliknya membekalkan perkhidmatan kepada pengguna. Contoh : Pengangkutan, kewangan dan insuran, hartanah dan perkhidmatan perniagaan serta perkhidmatan kerajaan. Faktor yang mempengaruhi sektor perkhidmatan adalah :-

a) Faktor Fizikal

  • Kekayaan semulajadi : Penemuan gas asli memajukan sektor pengangkutan, pelabuhan, bekalan tenaga dan gas. Contoh : Kerteh, Terengganu
  • Sungai : Sektor pengangkutan air. Contoh Sungai Rejang dan Sungai Kinabatangan
  • Keindahan Alam Sekitar : Memajukan pelancongan. Contoh :- Langkawi, Cameron Highlands, Pulau Redang

b) Faktor Ekonomi

  • Kemajuan sektor primer dan sekunder menjadi asas penting yang memperkembangkan sektor perkhidmatan
  • Sektor perkhidmatan memerlukan sektor primer dan sekunder sebagai input
  • Aktiviti penghantaran dan pengangkutan bahan mentah

c) Faktor Governan

  • Menggalakkan pelabur asing memnanam modal dalam sektor pelancongan, pendidikan, insurans dan bank
  • Diberikan pengecualian cukai
  • Mempromosikan pelancongan di luar negara
  • Mengembangkan francais
  • Memperluaskan konsep e dagang
  • Menyediakan infrastruktur lengkap beserta sistem telekomunikasi yang canggih

d) Faktor Teknologi

  • Dibantu oleh R&D yang berterusan
  • Teknologi telekomunikasi berkembang dan membantu perkembangan sektor perkhidmatan yang lain

10. FAKTOR YANG MEMPENGARUHI GUNA TANAH PEMBANDARAN

Proses pembandaran adalah satu perubahan penduduk dari desa ke bandar. Guna tanah utamanya adalah bangunan atau kediaman, tempat menjalankan aktiviti perniagaan, perdagangan, perindustrian dan perkhidmatan. Faktor-faktor yang mempengaruhi Proses Pembandaran di Malaysia adalah :-

a) Migrasi

  • Lebih ramai penduduk yang berindah dari luar bandar ke bandar

b) Perindustrian

  • Kewujudan kawasan perindustrian akan membentuk sebuah bandar. Pembangunan akan mewujudkan banyak peluang pekerjaan, peningkatan kemudahan dan infrastruktur yang akan mempengaruhi pembangunan kawasan setempat serta kawasan sekitarnya.

c) Refomasi Tanah

  • Proses penyatuan tanah yang berpecah akan menggalakan perkembangan petempatan berkelompok/ berpusat.

d) Ekonomi

  • Sistem dan saiz kawasan pertanian, jenis tenakan yang berbeza boleh menghasilkan pola petempatan berkelompok atau berpusat

e) Dasar Kerajaan

  • Dasar Perindustrian Negara (DPN) : Perindustrian ringan mempengaruhi pembandaran Kepong, Puchong, Nilai. Zon Perdagangan Bebas mempengaruhi pembandaran kawasan Prai dan Bayan Lepas dan Pasir Gudang
  • Dasar Ekonomi Baru 1970 dan Rancangan Lima Tahun yang memperkenalkan pembukaan kawasan baru dan bandar kecil telah menyebabkan proses pembandaran berlaku dengan pesat di bandar dan kawasan sekitarnya

f) Peluang Pekerjaan

  • Kewujudan banyak pekerjaan dalam sektor perdagangan, perniagaan dan perindustrian telah menggalakkan penumpuan penduduk dari luar bandar ke kawasan pembandaran.

Akan dikemaskini untuk faktor yang mempengaruhi Guna Tanah jenis yang lain seperti perlombongan, dan sebagainya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Jenis Guna Tanah Di Kawasan Kajian

Jenis Guna Tanah Di Kawasan Kajian

Cadangan Usaha Mengatasi Kesan Guna Tanah di kawasan kajian

Cadangan Usaha Mengatasi Kesan Guna Tanah