Kepentingan Berekreasi Dan Beriadah Pada Hujung Minggu (Karangan). Contoh karangan bm spm Kepentingan Beriadah kepada masyarakat..

Kepentingan Berekreasi Dan Beriadah Pada Hujung Minggu

Umum sedia maklum akan pentingnya beriadah dan berekreasi terutama pada hujung minggu untuk semua. Berikut dikongsikan contoh karangan kepentingan berekreasi dan beriadah pada hujung minggu buat panduan calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bakal menduduki Kertas Bahasa Melayu pada hujung tahun ini.

Sesungguhnya, aktivit rekreasi dan riadah yang boleh didefinsikan sebagai segala kegiatan yang dilakukan pada waktu lapang untuk menyihatkan tubuh badan dan fikiran merupakan elemen yang penting dalam menjayakan segala aktiviti dalam kehidupan seharian kita. Oleh itu, kita perlu mempunyai kesedaran terhadap kepentingan mengamalkan aktiviti riadah dan rekreasi sebelum nasi menjadi bubur.

contoh karangan Kepentingan Berekreasi Dan Beriadah

Contoh Karangan Kepentingan Berekreasi Dan Beriadah Pada Hujung Minggu

Soalan Bahagian A :

  • Gambar di bawah menunjukkan sebahagian daripada aktiviti riadah yang boleh dilakukan. Huraikan pendapat anda tentang faedah-faedah aktiviti riadah. Panjangnya huraian hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.

Aktiviti rekreasi dan riadah merupakan aktiviti yang dilakukan oleh masyarakat pada waktu senggang mereka. Terdapat pelbagai aktiviti riadah yang sering dilakukan. Antaranya termasuklah bersukan, bergotong-royong, dan banyak lagi. Namun, jika dilihat pada era globalisasi ini, aktiviti riadah semakin terhapus dalam kalangan anggota masyarakat. Hal ini demikian kerana masing-masing terlalu sibuk dengan urusan seharian mereka. Perkara ini tidak boleh dipandang enteng kerana aktiviti riadah sebenarnya mendatangkan banyak faedah kepada kita. Sekiranya aktiviti ini tidak dilaksanakan kita tidak akan dapat memanfaatkan faedah yang diperoleh itu dalam kehidupan seharian kita.

Kepentingan aktiviti rekreasi dan riadah termasuklah dapat menyihatkan tubuh badan. Sebagai contohnya, apabila bersukan tubuh badan kita akan berpeluh dan perkara ini secara tidak langsung dapat menyingkirkan garam mineral yang tidak diperlukan oleh badan kita. Apabila garam mineral tersebut disingkirkan, penyakit-penyakit berbahaya seperti lemah jantung dan sebagainya akan dapat dikurangkan daripada menyerang kita. Hal ini akan menjadikan kita seorang yang sihat dan aktiviti-aktiviti seharian yang lain dapat dijalankan dengan sempurna tanpa diganggu gugat oleh masalah kesihatan yang dihadapi. Jadi, jelaslah di sini bahawa akvititi riadah dapat menyihatkan tubuh badan seseorang sekali gus memastikan aktiviti seharian mereka berjalan dengan lancar.

Kepentingan Beriadah

Selain itu, hubungan silaturahim dapat dieratkan menerusi aktiviti rekreasi dan riadah. Hal ini demikian kerana apabila aktiviti ini dilakukan, sebilangan besar komuniti masyarakat akan berkumpul pada satu tempat dan proses perkenalan antara masyarakat/ komuniti akan berlaku. Sebagai misalnya, melalui aktiviti gotong royong, anggota masyarakat akan bekerjasama menggembleng tenaga bagi membersihkan sesuatu kawasan di sekitar taman perumahan seperti kata pepatah Melayu, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Mereka akan sama-sama membersihkan kawasan itu tanpa mengira umur, bangsa, atau negara. Perkara ini secara tidak langsung akan melahirkan bibit-bibit perkenalan antara mereka, sekali gus suasana yang harmoni dapat diwujudkan dalam kalangan anggota masyarakat. Tegasnya, hubungan silaturahim antara komuniti masyarakat dapat dieratkan melalui aktiviti rekreasi dan riadah.

Di samping itu, aktiviti rekreasi dan riadah juga dapat melahirkan sebuah institusi keluarga yang bahagia. Hal ini demikian kerana dengan adanya aktiviti seperti berkelah, anggota keluarga akan berkumpul bersama-sama terutamanya pada hujung minggu memandangkan ada dalam kalangan mereka yang sibuk bekerja pada hari-hari biasa. Apabila semua anggota berkumpul, segala masalah yang meyelubungi ahli keluarga akan dapat dibincangkan, sekali gus masalah tersebut dapat dikurangkan. Jadi, jelaslah di sini bahawa sesebuah institusi kekeluargaan yang bahagia akan dapat diwujudkan melalui aktiviti rekeasi dan riadah pada hujung minggu.

Kesimpulannya, aktiviti rekreasi dan riadah mendatangkan pelbagai kemaslahatan kepada kita. Oleh hal demikian, aktiviti ini wajar diteruskan agar setiap anggota masyarakat dapat merasai kenikmatannya. Tanpa aktiviti rekreasi dan riadah seperti bersukan, bergotong- royong, dan berkelah, hubungan dalam kalangan anggota masyarakat akan menjadi renggang. Perkara ini harus digalakkan agar negara yang aman dan makmur dapat diwujudkan. Akhir kalam, aktiviti rekreasi dan riadah seharusnya dipratikkan oleh segenap lapisan masyarakat agar “tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.”

Contoh Latihan Pengukuhan Berkaitan Kepentingan Berekreasi Dan Beriadah

Arahan : Susun karangan di bawah mengikut urutan yang betul.

Para 1

  • Contoh rekreasi ialah aktiviti berkelah, bersenam, bersiar-siar dan lain-lain lagi
  • Oleh hal yang demikian, setiap masyarakat perlulah meluangkan masa untuk berekreasi kerana aktiviti itu banyak kepentingannya
  • Aktiviti rekreasi sangat penting kepada masyarakat di negara kita
  • Namun begitu, sejak akhir-akhir ini masyarakat kurang berekreasi kerana sibuk dengan kerjaya masing-masing
  • Jika kita mengamalkan aktiviti rekreasi kita dapat hidup dengan sihat dan sejahtera.

Para 2

  • Hal ini demikian kerana, semasa berekreasi semua ahli keluarga dapat berkumpul dan melakukan aktiviti bersama-sama
  • Contohnya ibu bapa membawa anak-anak pergi berkelah, di tepi pantai, hutan lipur dan sebagainya
  • Oleh hal yang demikian, ibu bapa perlulah meluangkan masa berekreasi bersama dengan anak-anak
  • Kesannya hubungan kemesraan dan kasih sayang dalam keluarga akan terjalin umpama kata peribahasa bagaikan isi dengan kuku
  • Salah satu kepentingan rekreasi kepada masyarakat ialah dapat meningkatkan hubungan dalam keluarga.

Para 3 Kepentingan Berekreasi Dan Beriadah

  • Contohnya jika kita pergi bersenam atau berjoging kita dapat melupakan masalah di pejabat
  • Kita sedia maklum, bahawa semasa berekreasi seseorang itu dapat melupakan segala masalah yang dihadapinya terutamanya masalah kerja di tempat kerja
  • Selain itu, aktiviti rekreasi juga dapat melapangkan dan menenangkan fikiran seseorang
  • Oleh hal yang demikian, kita perlulah meluangkan masa untuk berekreasi atau beriadah supaya dapat melapangkan fikiran kita
  • Kesannya kita dapat mengurangkan masalah stres atau tekanan yang membelenggu fikiran.

Para 4

  • Jelaslah bahawa aktiviti berekreasi sangat penting kepada kita untuk bertukar-tukar pendapat atau pengalaman dengan orang lain
  • Sebagai contohnya semasa kita beriadah kita boleh berbincang dan bertukar-tukar pendapat.
  • Hal ini demikian kerana, semasa berekreasi kita dapat berkumpul atau bertemu dengan ramai kawan
  • Natijahnya kita dapat mengeratkan hubungan silaturahim dan meluaskan ilmu pengetahuan
  • Di samping itu, aktiviti rekreasi juga penting kerana kita dapat bertukar-tukar pendapat dengan orang lain.

Para 5 Kepentingan Berekreasi Dan Beriadah

  • Kesannya kita dapat mencegah daripada penyakit yang berbahaya seperti kencing manis, sakit jantung, darah tinggi dan lain-lain lagi
  • Akhir sekali, aktiviti rekreasi juga penting untuk menyihatkan badan
  • Contohnya semasa bersenam sisa toksin dan lemak dalam badan dapat dikeluarkan melalui peluh
  • Jelaslah bahawa aktiviti rekreasi sangat penting untuk menyihatkan tubuh badan kita
  • Hal ini kerana semasa kita berekreasi kesihatan kita dapat dijaga.

Para 6

  • Dengan cara ini, diharapkan dapat melahirkan masyarakat yang bersatu padu, sihat dan sejahtera
  • Kesimpulannya, terdapat banyak kepentingan rekreasi kepada masyarakat
  • Oleh hal yang demikian semua pihak perlulah sentiasa berekreasi sama ada bersama-sama keluarga atau kawan-kawan
  • Akhir sekali hasrat murni kerajaan untuk melahirkan masyarakat yang berkualiti akan tercapai.

Moga perkongsian contoh karangan Kepentingan Berekreasi Dan Beriadah Kepada Masyarakat Pada Hujung Minggu boleh dijadikan rujukan buat calon SPM dalam menghasilkan karangan yang bermutu.

Tinggalkan Komen

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *