in

Penangguhan Bayaran Pinjaman Bank (Tawaran Moratorium) Bermula 1 April 2020

Penangguhan Bayaran Balik Pinjaman Bank Sehingga Enam (6) Bulan Dan Penyusunan Semula Baki Kredit Serta Pinjaman Korporat. Berita baik buat rakyat Malaysia yang terkesan akibat penularan wabak COVID-19 dari pelbagai segi termasuk keresahan dari segi kewangan. Berikut dikongsikan maklumat berkaitan Permohonan Penangguhan Bayaran Pinjaman Bank secara automatik buat rujukan semua.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 25 Mac 200 telah mengumumkan bahawa bank tempatan akan menawarkan moratorium atau penangguhan bayaran balik sehingga enam bulan kepada peminjam individu dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) bermula 1 April 2020 dengan anggaran peruntukkan sebanyak RM100 bilion daripada kerajaan.

penangguhan bayaran pinjaman bank secara automatik

Penangguhan Bayaran Balik Pinjaman Bank Secara Automatik Sehingga Enam (6) Bulan Bermula 1 April 2020

Bank Negara Malaysia (BNM) menerusi siaran akhbar bertarikh 25 Mac 2020. Telah memaklumkan bahawa pelanggan bank, termasuk pelanggan persendirian dan perniagaan kecil dan sederhana akan dibenarkan menangguh pembayaran balik pinjaman sedia ada (bayaran ansuran bulanan dsb) mereka untuk tempoh enam bulan.

Penangguhan ini bersifat automatik dan terpakai kepada semua hutang termasuk pinjaman perumahan dan kereta. Namun, hutang kad kredit tidak akan termasuk dalam penangguhan sebaliknya bank akan menawarkan penukaran baki hutang ke pinjaman bertempoh.

Penangguhan pinjaman bank adalah terpakai kepada :-

  • Pinjaman dalam Ringgit Malaysia (RM) dan
  • Hutang yang tidak tertangguh melebihi 90 hari pada 1 April 2020

i) Siaran Akhbar Bank Negara Malaysia : Penangguhan Bayaran Pinjaman Bank

Berikut adalah intipati siaran akhbar BNM berkaitan Langkah-langkah untuk Membantu Individu, PKS dan Syarikat Korporat yang Terjejas oleh Wabak COVID-19 yang boleh dirujuk secara lengkap di Laman Web Rasmi Bank Negara Malaysia.

Pinjaman/ Pembiayaan kepada individu dan PKS

Bagi membantu aliran tunai individu dan PKS yang berkemungkinan paling terjejas akibat COVID-19. Institusi perbankan akan menawarkan penangguhan kepada semua pembayaran balik pinjaman/ pembiayaan untuk tempoh 6 bulan, berkuat kuasa pada 1 April 2020. Tawaran ini diberikan kepada pinjaman/ pembiayaan dalam denominasi Ringgit yang mempunyai rekod pembayaran yang baik serta tidak mempunyai tunggakan selama lebih daripada 90 hari setakat 1 April 2020.

Perkara penting yang perlu diambil perhatian ialah faedah/keuntungan akan terus terakru (yakni diambil kira) atas pembayaran balik pinjaman/pembiayaan yang tertangguh dan peminjam perlu meneruskan pembayaran balik pinjaman/pembiayaan yang tertangguh pada masa hadapan. Oleh yang demikian, peminjam perlu memahami perkara ini dan berbincang dengan institusi perbankan masing-masing tentang pilihan yang ada apabila menyambung semula jadual pembayaran balik pinjaman/pembiayaan mereka selepas tempoh penangguhan.

Individu dan PKS yang tidak mahu atau tidak perlu menggunakan kemudahan ini boleh meneruskan pembayaran balik mereka seperti biasa mengikut struktur yang sedia ada.

Pinjaman/pembiayaan kepada syarikat korporat

Institusi perbankan juga akan memudahkan permohonan syarikat korporat untuk menangguhkan atau menstrukturkan semula pembayaran balik pinjaman/pembiayaan mereka dengan cara yang membolehkan syarikat korporat berdaya maju mengekalkan pekerja dan menyambung semula aktiviti ekonomi dengan cepat apabila keadaan menjadi bertambah baik. Syarikat korporat perlu menghubungi institusi perbankan mereka untuk membincangkan pelan pembayaran balik dan penstrukturan semula kemudahan kredit syarikat korporat.

Bank telah menyediakan fleksibiliti bertempoh masa yang bersesuaian untuk institusi perbankan melaporkan penangguhan/penstrukturan semula kemudahan dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (Central Credit Reference Information System, CCRIS), dengan mengambil kira gangguan bersifat sementara yang dihadapi oleh peminjam/pelanggan institusi perbankan.

Hutang Kad Kredit

Pemegang kad kredit yang menghadapi kekangan kewangan boleh memilih untuk menukar baki kad kredit kepada pinjaman berjangka.

Fleksibiliti penangguhan pembayaran balik kad kredit ini boleh dimanfaatkan oleh peminjam dari 1 April ini sehingga 31 Disember 2020.

  • Menurut BNM, Institusi perbankan akan menawarkan penukaran baki terkumpul kepada pinjaman bertempoh 3 tahun (3-year term loan). Dengan kadar faedah yang lebih rendah bagi membantu peminjam mengurus hutang mereka dengan lebih baik

Untuk maklumat lanjut, pengguna boleh merujuk kepada soalan lazim (FAQ) penangguhan bayaran pinjaman di BNM.

ii) Kenyataan Media Perdana Menteri Penangguhan Bayaran Pinjaman Bank

Kerajaan pada hari ini sentiasa mendengar permintaan dan denyut nadi rakyat. Saya sedar bahawa impak wabak COVID-19 ini bukan hanya menimbulkan keresahan dari segi kesihatan dan kesejahteraan, tetapi Perintah Kawalan Pergerakan ini juga menimbulkan keresahan rakyat dari segi kewangan.

Rakyat pelbagai lapisan sama ada usahawan, petani, nelayan, pekerja harian tertanya-tanya akan kedudukan ekonomi mereka. Antara perkara utama yang menimbulkan keresahan ini ialah pembayaran balik pinjaman bank, baik dari segi peminjam persendirian mahupun Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang perniagaan mereka terjejas akibat penularan wabak ini.

Justeru, sukacita saya umumkan pada hari ini, setelah mengadakan beberapa sessi perbincangan dengan Kementerian Kewangan (MOF) dan Bank Negara Malaysia (BNM) bahawa:

  1. Bermula 1 April 2020, bank-bank tempatan akan menawarkan moratorium atau penangguhan bayaran balik sehingga enam (6) bulan kepada peminjam-peminjam individu dan PKS di masa yang amat mencabar ini.
  2. Pemegang kad kredit yang menghadapi kekangan kewangan boleh memilih untuk menukar baki kad kredit kepada pinjaman berjangka. Fleksibiliti penangguhan pembayaran balik kad kredit ini boleh dimanfaatkan oleh peminjam dari 1 April 2020 sehingga 31 Disember 2020.
  3. Sektor korporat boleh berunding dengan bank masing-masing untuk menyusun semula pembayaran balik yang sesuai dengan keadaan perniagaan mereka. Ini adalah penting untuk membolehkan syarikat- syarikat terus berkemampuan untuk mengekalkan pekerjaan dan segera meneruskan aktiviti perniagaan masing-masing.

Semua langkah-langkah penangguhan bayaran balik pinjaman, penyusunan baki kad kredit dan penstrukturan semula pinjaman perniagaan melibatkan jumlah nilai sekurang-kurangnya RM100 billion.

Ini merupakan satu jumlah yang amat bermakna. Dan saya amat berterima kasih di atas keperihatinan Kementerian Kewangan, BNM serta industri perbankan Malaysia.

Seperti yang saya umumkan tempoh hari selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara. Kerajaan sedang mengkaji pelbagai cara untuk mengurangkan beban rakyat dan satu lagi pelan rangsangan ekonomi akan dilancarkan tidak lama lagi yang lebih komprehensif dan bermakna demi rakyat dan ekonomi negara.

Saya telahpun meminta Kementerian Kewangan dan BNM untuk memperincikan pengumuman ini dengan lebih mendalam agar rakyat memahami sepenuhnya manfaat yang dtawarkan.

YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin
Perdana Menteri
25 March 2020

Maklumat Lanjut

Kenyataan media Perdana Menteri berkaitan penangguhan bayaran pinjaman bank secara automatik boleh dimuat turun di Portal Rasmi Pejabat Perdana Menteri Malaysia.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi bank anda di talian berikut :-

  1. Affin Bank / Affin Islamic 03-82302222
  2. Agro Bank 1-300-88-2476
  3. Alliance Bank 03-55169988
  4. AmBank 03-21788888
  5. Bank Islam 03-26900900
  6. Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) 03-26113888
  7. Bank Rakyat 1-300-80-5454
  8. Bank Simpanan Nasional (BSN) 1300-88-1900
  9. Bank Muamalat 1-300-88-8787
  10. CIMB / CIMB Islamic 03-62047788
  11. Hong Leong Bank / Hong Leong Islamic 03-76268899
  12. HSBC Amanah 1-300-88-2626
  13. Maybank / Maybank Islamic 1-300-88-6688
  14. MBSB Bank Kuala Lumpur 03-20963000
  15. OCBC Al Amin Bank Berhad 03-83149310
  16. Public Bank 1-800-22-5555
  17. RHB Bank / RHB Islamic 03-9206 8118
  18. Standard Chartered Saadiq 1-300-88-8888
  19. SME Bank 03-26037700

Semoga langkah penangguhan bayaran pinjaman bank yang dibuat oleh Kerajaan/ BNM/ Bank-Bank dapat membantu meringankan beban peminjam yang terkesan susulan penularan COVID-19.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Permohonan Bantuan Khas COVID-19 (NADMA)

Intipati Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat

Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat 2020