Peranan Rakyat Untuk Menjaga Keselamatan Negara (Contoh Karangan). Bahasa melayu spm Tanggungjawab orang awam menjaga kedaulatan negara

Peranan Rakyat Untuk Menjaga Keselamatan Negara

Semangat patriotik dalam kalangan rakyat dapat menjadi penggerak untuk setiap rakyat mempertahankan negara. Rakyat negara pelbagai kaum perlu mempunyai semangat ini kerana mereka memangkinkan pembinaan bangsa Malaysia. Rakyat perlu ada semangat tidak rela dijajah untuk mempertahankan kedaulatan negara. Berikut dikongsikan contoh karangan berkaitan peranan rakyat untuk menjaga keselamatan negara.

Keselamatan membawa erti bebas daripada ancaman. Dalam disiplin pengajian keselamatan pula,konsep ini sering dikaitkan dengan keselamatan negara. Justeru, keselamatan Negara bermaksud menjaga pertahanan sempadan daripada ancaman ketenteraan musuh supaya ianya wujud sebagai sebuah Negara yang merdeka dan berdaulat.

contoh karangan Peranan Rakyat Untuk Menjaga Keselamatan Negara

Keselamatan bukan hanya menahan benteng Negara daripada serangan ketenteraan tetapi juga termasuk isu-isu ekonomi dan isu-isu yang merentasi sempadan. Malah kebanyakan isu sebenarnya bergantung antara satu sama lain. Walaupun isu-isu seperti migrasi, perdagangan dadah dan penyeludupan manusia, pencemaran alam sekitar dan kemiskinan, tidak member kesan kepada keselamatan Negara, tetapi dalam jangka masa yang panjang ia mempunyai dampak ke atas kelangsungan hidup sesebuah Negara

Peranan Rakyat Untuk Menjaga Keselamatan Negara (Contoh Karangan)

Keselamatan sesebuah negara amat penting untuk dipelihara dan dijaga bagi memastikan keamanan negara dapat dikekalkan. Jika keselamatan negara dijaga, rakyat dapat menjalani kehidupan mereka tanpa diganggu, bebas memilih cara hidup, hak individu dihormati dan tidak dizalimi. Hal ini menjelaskan bahawa keselamatan amat penting bagi sesebuah negara.

Antara langkah menjaga keselamatan negara adalah bermula daripada diri pemimpin sendiri. Pemimpin yang cemerlang ialah seorang yang amanah dalam memikul tanggungjawab sebagai salah seorang individu yang terpenting dalam tampuk pemerintahan negara. Contohnya, tidak menyalahgunakan kuasa yang ada untuk kepentingan diri sendiri mahupun ahli keluarga. Sebaliknya seorang pemimpin harus memberi keutamaan kepada rakyat. Hal ini kerana rakyat telah memberi kepercayaan dan harapan yang tinggi kepada pemimpin bagi mentadbir negara dengan adil dan saksama.

Pentadbiran yang berjaya akan memelihara keselamatan negara yang sekian lama dikecapi. Selain itu, rakyat turut mempunyai peranan dan tanggungjawab bagi mengekalkan keselamatan negara terutamanya golongan remaja. Remaja merupakan aset penting bagi menentukan masa depan negara kerana mereka merupakan bakal-bakal pemimpin negara. Oleh itu, mereka hendaklah diberikan pendidikan yang mencukupi agar mereka mempunyai ilmu yang cukup untuk mengambil alih pentadbiran negara.

Para remaja juga harus sedar bahawa merekalah yang akan mencorak masa depan negara. Mereka haruslah berbangga kerana dapat menetap di negara bertuah ini. Mereka perlulah bersatu padu dan hidup dalam keadaan harmoni. Sejarah telah membuktikan bahawa bersatu padu amat penting dalam mengekalkan keamanan negara.

Nilai Patriotisme

Akhir sekali, mengamalkan konsep rukun negara sekali gus menerapkan nilai-nilai patriotisme ke dalam diri juga merupakan aspek yang perlu dilaksana dan dipelihara dalam usaha mengembalikan perpaduan kaum di Malaysia selain melahirkan masyarakat yang progresif, demokratik dan bersifat terbuka. Perpaduan antara kaum amat penting bagi menjaga keselamatan negara. Hal ini kerana jika tiadanya perpaduan antara masyarakat, negara akan menjadi huru-hara dan kacau-bilau. Sebagai contoh, sesuatu kaum tidak boleh bercampur dengan kaum yang lain. Malah jika bertemu muka, masing-masing akan berselisihan antara satu sama lain dan seterusnya akan berlanjutan kepada pergaduhan yang besar.

Justeru itu, perpaduan antara kaum perlu dipupuk bagi memastikan keselamatan negara akan lebih terjamin. Kesimpulannya, kerjasama antara masyarakat amat diperlukan dalam menjaga keselamatan negara. Rakyat hendaklah bersatu padu dan bekerjasama dalam apa jua keadaan bagi melindungi dan mempertahankan kedaulatan negara yang diperoleh. Bak kata pepatah, bersatu teguh, bercerai roboh.

Isi-Isi Penting Peranan Rakyat Untuk Menjaga Keselamatan Negara

Di antara isi-isi penting lain yang boleh dimasukkan dalam karangan Peranan orang awam dalam menjaga keselamatan negara adalah speerti berikut:-

  1. Mewujudkan Rukun Tetangga di kawasan-kawasan perumahan untuk menjaga keselamatan dan keamanan sekitar perumahan.
  2. Mengadakan majlis solat hajat dan doa selamat untuk keselamatan dan kesejahteraan negara
  3. Masyarakat haruslah bersatu-padu dan bekerjasama dalam mempertahankan keselamatan dan keamanan negara
  4. Generasi muda haruslah menanam sifat cintakan negara. Bak kata pepatah, meluntur buluh biarlah dari rebungnya
  5. Berkongsi maklumat tentang keselamatan di laman sosial.
  6. Memupuk sikap dan nilai dalam diri untuk menjadi warganegara dan tanggungjawab kepada agama, bangsa dan tanah air. Semangat cintakan negara dan rasa taat setia perlu disemai dalam diri setiap individu kerana ia akan mewujudkan rakyat yang bukan sahaja bertanggungjawab kepada masyarakat dan negara malah bertanggungjawab demi menjaga keamanan dan keselamatan negara
  7. Menghormati perbezaan keturunan, kebudayaan dan agama. Setiap individu mestilah bertolak ansur antara satu sama lain, serta menghormati cara hidup, pegangan, adat resam, budaya serta keturunan kumpulan etnik. Soal perbezaan, perasaan prasangka dan perkauman antara kaum hendaklah diketepikan bagi menjamin suasana yang harmoni.
  8. Semangat persefahaman dan toleransi akan kekal sekiranya perkara-perkara sensitif tidak diungkit atau dibahaskan. Setiap warganegara yang berlainan kaum perlu menerima dan mengakui kepentingan kaum lain dalam menjalani kehidupan seharian. Sistem nilai yang positif harus diamalkan tidak mengira kaum.
  9. Mewujudkan masyarakat yang bersatu padu – Tanpa perpaduan yang mantap, kesejahteraan tidak akan dapat dicapai walaupun negara mencapai status negara maju. Perpaduan yang hendak dicapai mestilah melalui cara hidup demokratik akan menjadi tunjang kepada jaminan keselamatan negara, ketenteraman awam dan kesejahteraan bersama.

Moga perkongsian isi penting karangan Peranan Rakyat Untuk Menjaga Keselamatan Negara bermanfaat buat semua pelajar.

Tinggalkan Komen

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *