Tema Hari Guru Tahun 2020. Hari Guru yang jatuh pada tarikh 16 Mei setiap tahun akan kembali menemui kita semua. “Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu ” telah dipilih sebagai Tema Hari Guru di Malaysia untuk sambutan tahun 2020. Tema ini adalah rasmi seperti diumumkan di Facebook Rasmi KPM. Untuk memberi pengiktirafan kepada jasa guru, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan menganjurkan sambutan Hari Guru pada tarikh 16 Mei setiap tahun,dengan pelbagai program diadakan yang menjurus ke arah penghargaan kepada guru
Tugas utama bagi seseorang guru adalah untuk mengajar dan mendidik, Di zaman yang teknologi yang serba canggih menjadikan tugas seorang guru semakin mencabar. Dengan pelajar yang bermacam ragam menjadikan tugas guru untuk mendidik anak bangsa untuk mencapai kejayaan penuh dengan cabaran.
Isi Kandungan
- Tema Hari Guru 2020 : Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu
- Logo Sambutan Hari Guru 2020
- Guru, Obor Hemah Menyinari Pertiwi : Tema Tahun 2019
- Logo Sambutan Hari Guru 2019
- Pelancaran Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke 48 Tahun 2019
- Definisi Guru Pemacu Transformasi Pendidikan
- Huraian Tema Hari Guru : Guru Pemacu Transformasi Pendidikan
- Senarai Tema Sambutan Hari Guru Di Malaysia Setiap Tahun
Tema Hari Guru 2020 : Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu
Berikut dikongsikan informasi berkaitan tema hari guru, definisi dan huraian logo Guru, Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu yang telah dipilih sebagai Tema Hari Guru tahun 2020.
Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan kali ke 49 adalah berbeza dengan sambutan secara besar-besaran pada tahun-tahun sebelumnya. Sebaliknya susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), sambutan pada tahun ini akan menjurus kepada program yang diadakan secara dalam talian termasuk di media sosial.
Tema ini menyentuh peranan guru dalam memperkasa keilmuan dan profesionalisme bagi membina generasi baharu negara yang dapat memenuhi matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Guru merupakan insan yang sentiasa dahagakan ilmu dan tidak jemu memperlengkap dirinya dengan pelbagai pengetahuan, kemahiran dan nilai sejajar dengan prinsip pembelajaran sepanjang hayat (lifelong learning).
Dalam konteks berguru, ilmu hendaklah diperoleh daripada seseorang yang mempunyai kepakaran atau kemahiran yang autentik serta berasaskan sumber yang betul, sahih dan berwibawa. Murid perlu menginsafi bahawa tidak ada manusia yang mencapai kejayaan di dunia ini tanpa kehadiran insan bergelar guru. Guru juga insan yang banyak membentuk karakter dan keperibadian seseorang.
Berguru merupakan suatu proses pembelajaran berterusan yang tiada berpenghujung, selagi mana seseorang itu masih menikmati kehidupan di dunia ini. Seseorang yang berguru dengan niat ikhlas untuk mendapatkan ilmu akan terus berusaha meningkatkan kefahaman terhadap ilmu tersebut dan juga berusaha meneroka bidang ilmu baharu. Ini akan melahirkan lebih ramai ilmuwan yang mampu mencipta dan mereka produk serta perkhidmatan yang memberi impak tinggi kepada masyarakat dan negara.
Murid yang ada pada hari ini merupakan generasi pewaris masa hadapan negara. Oleh hal demikian, adalah penting untuk guru menanam dalam jiwa muridnya akan kecintaan dan dahaga kepada ilmu. Kecintaan mereka kepada ilmu akan melahirkan generasi baharu yang lebih gemilang dalam pelbagai aspek kehidupan.
KPM yakin bahawa tema “Berguru Demi llmu, Bina Generasi Baharu’ ini dapat memberi semangat baharu kepada guru serta murid dan seterusnya membentuk masyarakat yang menuntut iimu dengan niat ikhlas agar ilmu mudah melekat dalam sanubari.
Logo Sambutan Hari Guru 2020
Akan dikemaskini
Guru, Obor Hemah Menyinari Pertiwi : Tema Tahun 2019
Obor Hemah Menyinari Pertiwi telah dipilih sebagai Tema Hari Guru tahun 2019 dengan Pulau Pinang (Spice Arena) telah dipilih sebagai tuan rumah sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan kali ke 48.
Logo Sambutan Hari Guru 2019
Logo Hari Guru 2019 Memberi Maksud:-
- Buku melambangkan rakyat Malaysia menyahut seruan YB Dr. Maszlee Malik, Menteri Pendidikan Malaysia memperkukuh dan meningkatkan budaya membaca serta menzahirkan hasrat untuk menjadikan negara sebagai sebuah negara yang berbudaya membaca
- Icon orang melambangkan Guru dan Murid berpisah tiada. Guru mendidik murid sehingga berjaya. Murid berjaya akan tetap menghargai gurunya sepanjang hajat
- Pemilihan warna emas (Gold) memperlihatkan martabat (perumpamaan) seorang guru yang dikasihi. (dalam konteks warna). Dalam konteks nilai seorang guru – jasa guru tidak ternilai.
Pelancaran Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke 48 Tahun 2019
- Lokasi : Spice Arena, Pulau Pinang
- Tarikh : 16 Mei 2019
- Dirasmikan Oleh : Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad
Berikut adalah lirik lagu – Kami Guru Malaysia dan ikrar Hari Guru :-
Lagu ” Kami Guru Malaysia” (Lirik)
Kami guru Malaysia
Berikrar dan berjanji
Mendidik dan memimpin
Putra putri negara kita
Pada Seri Paduka
Kami tumpahkan setia
Rukun Negara kita
Panduan hidup kami semua
Dibidang pembangunan
Kami tetap bersama
Membantu, membina
Negara yang tercinta
Amanah yang diberi
Kami tak persiakan
Apa yang kami janji
Tunai tetap kami tunaikan
Ikrar Hari Guru
Bahawasanya kami
Guru-guru negara Malaysia
Dengan ini berikrar
Mendukung terus cita-cita kami
Terhadap tugas kami
Dan menyatakan keyakinan kami
Pada cita-cita murni pekerjaan kami
Kami akan berbakti
Kepada masyarakat
Dan negara kami.
Kami sentiasa menjunjung
Perlembagaan negara
Kami mengamalkan
Prinsip-prinsip Rukun Negara
Pada setiap masa.
Definisi Guru Pemacu Transformasi Pendidikan
Berikut adalah maksud GURU PEMACU TRANSFORMASI PENDIDIKAN.
GURU
- Guru merupakan individu penting serta berperanan sebagai pendidik yang mendorong, membimbing dan membentuk kemenjadian murid
PEMACU
- Penggerak yang menggerakkan sesuatu usaha dengan lebih cepat dan berkesan dalam memastikan kejayaan dan pencapaian sasaran
TRANSFORMASI
Membawa maksud melakukan perubahan terhadap sifat, tingkah laku, pengetahuan, pandangan dan sebagainya kepada sesuatu yang lebih baik dan sempurna
PENDIDIKAN
Bermaksud perihal mendidik yang merujuk kepada proses atau aktiviti untuk membentuk manusia secara menyeluruh dan seimbang
Huraian Tema Hari Guru : Guru Pemacu Transformasi Pendidikan
Berikut adalah huraian Tema Hari Guru 2018 seperti berikut :-
- Tema Hari Guru 2018 ini dicadangkan untuk menunjukkan bahawa dalam menjayakan transformasi pendidikan negara dan menyahut cabaran Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025. Guru ialah agen penting dalam merealisasi transformasi melalui peringkat akar umbi pendidikan. Pada peringkat Gelombang 2 PPPM (2016-2020), guru perlu memainkan peranan sebagai pemacu dalam memastikan transformasi negara dapat dicapai dengan lebih cepat dan berkesan. Guru berperanan menterjemahkan semua dasar dan aspirasi negara melalui pendidikan
- Guru perlu menanamkan keinginan dan hasrat yang tinggi. Bagi memastikan setiap murid mempunyai pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika dan kerohanian serta identiti nasional seperti yang dirangka dalam PPPM 2013-2025. Dalam usaha menuju matlamat Transformasi Nasional 2050 (TN50). Guru memainkan peranan yang penting dalam mendidik modal insan yang bakal menerajui negara ke arah menjadi negara maju yang sejahtera, berinovasi dan berdaya saing dalam pelbagai bidang di peringkat global
- Dalam konteks Malaysia, transformasi pendidikan mestilah bertunjangkan kepada hasrat melahirkan warga glokal iaitu warga yang berakar nasional dan berakal internasional. Justeru itu, guru perlu sentiasa bersedia untuk berubah, melaksanakan tugas daripada cara biasa kepada yang luar biasa, berdaya tahan, futuristik dan berfikiran aras tinggi serta world class thinking.
Senarai Tema Sambutan Hari Guru Di Malaysia Setiap Tahun
Untuk rujukan, berikut adalah senarai tema Hari Guru dari tahun 1972 hingga tahun 2020.
Tahun Dan Tema | |||
2020 | Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu | ||
2019 | Guru, Obor Hemah Menyinari Pertiwi | ||
2018 | Guru Pemacu Transformasi Pendidikan | ||
2017 | Guru Pembina Negara Bangsa | ||
2016 | Guru Pembina Negara Bangsa | ||
2015 | Guru: Membina Ilmu Menyempurnakan Akhlak | ||
2014 | Guru: Pencetus Kreativiti, Penjana Inovasi | ||
2013 | Guru Malaysia 1 Aspirasi 1 Agenda | ||
2012 | Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara | ||
2011 | Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara | ||
2010 | Guru Pembina Negara Bangsa | ||
2009 | Guru Pembina Negara Bangsa | ||
2008 | Guru Cemerlang Negara Terbilang | ||
2007 | Guru Penjana Modal Insan Cemerlang | ||
2006 | Pendidikan Bestari Pemangkin Kegemilangan | ||
2005 | Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan | ||
2004 | Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan | ||
2003 | Guru Berkualiti Aspirasi Negara | ||
2002 | Guru Berkualiti Aspirasi Negara | ||
2001 | Memartabatkan Profesion Keguruan Tanggungjawab Bersama | ||
2000 | Bersatu Memartabatkan Profesion Keguruan | ||
1999 | Guru Berkesan Pendidikan Cemerlang | ||
1998 | Guru Penyemai Tanggungjawab Bersama | ||
1997 | Guru Bestari Sekolah Bestari | ||
1996 | Guru Malaysia Teras Pendidikan Bertaraf Dunia | ||
1995 | Permuafakatan dan Perpaduan Menjayakan Wawasan | ||
1994 | Guru Inovatif dan Kreatif Menjayakan Wawasan | ||
1993 | Guru Inovatif dan Kreatif Menjayakan Wawasan | ||
1992 | Guru Cemerlang Teras Kejayaan Wawasan | ||
1991 | Ke Arah Pendidikan Cemerlang | ||
1990 | Pendidikan Bermutu Masyarakat Sejahtera | ||
1989 | Guru Pembina Budaya Ilmu | ||
1988 | Guru Pengasas Budaya Membaca | ||
1987 | Pendidikan Ke Arah Kesejahteraan Insan | ||
1986 | Pendidikan Teras Nasionalisme | ||
1985 | Guru Dan Masyarakat Asas Kemajuan Pendidikan | ||
1984 | Kepimpinan Berteladan Kesempurnaan Pendidikan | ||
1983 | Kepimpinan Berteladan Teras Pendidikan | ||
1982 | Ke Arah Kecekapan Guru Dan Pendidikan Bermutu | ||
1981 | Pengorbanan Guru Kejayaan Rakyat | ||
1980 | Pendidikan Teras Perpaduan Negara | ||
1979 | Murid Sejahtera Negara Jaya | ||
1978 | Guru Pembentuk Generasi Akan Datang | ||
1977 | Dedikasi dan Disiplin Asas Kemajua | ||
1976 | Pendidikan Moral Dalam Zaman Kemajuan Pendidikan | ||
1975 | Guru dan Pembangunan Negara | ||
1974 | Peranan Guru Dalam Zaman Sains Dan Teknologi | ||
1973 | Kerjasama Ibu Bapa Untuk Kemajuan Pendidikan | ||
1972 | Peranan Guru Dalam Pembangunan Negara |
Selamat menyambut Hari Guru tahun 2020 dengan tema – Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu.