Tema Maal Hijrah 2023/ 1445H, tarikh maal hijrah 2023 dengan temanya “Perpaduan Teras Malaysia Madani” beserta amalan sunat bulan muharram.

Tema Maal Hijrah 2023/ 1445H Dan Tarikh Sambutan

1 Muharram 1445H (Awal Muharram) akan jatuh pada tarikh 19 Julai 2023 iaitu Hari Rabu. Ianya adalah merupakan tarikh cuti umum buat rakyat Malaysia. Apakah tema Maal Hijrah 2023/ 1445H?  “Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran” telah dipilih sebagai Tema Sambutan Maal Hijrah tahun lepas. Untuk tahun ini ianya adalah “Perpaduan Teras Malaysia Madani”.

Umat Islam di Negara Malaysia yang tercinta akan sentiasa mengingati peristiwa hijrah Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah serta peristiwa baginda Rasulullah SAW mempersaudarakan Muhajirin dan Ansar dari sambutan Maal Hijrah. Bertitik tolak daripada peristiwa hijrah tersebut, umat Islam haruslah mengambil ikhtibar bahawa Ukhuwah Islamiah yang kuat dan jitu adalah asas kepada perpaduan dan kesatuan ummah yang membawa kepada kemajuan dan kejayaan umat Islam ke era yang global demi menjulang nama Islam dipersada mata dunia dan menjadi ikon terbaik di alam maya ini.

Tema Maal Hijrah 2023/ 1445H Dan Tarikh

Sambutan Maal Hijrah Tahun 2023/ 1445H

Berikut dikongsikan informasi sambutan Maal Hijrah 2023 bersamaan dengan 1445 Hijrah di Malaysia termasuk Tema Maal Hijrah:-

  • Hari Rabu, 19 Julai 2023 (Cuti Umum)
  • Tema Sambutan Maal Hijrah.
    • 2023 : “Perpaduan Teras Malaysia Madani”
    • Lokasi Sambutan Peringkat Kebangsaan
      • Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL)
      • 7.00 Pagi

Tema Sambutan Maal Hijrah tahun sebelumnya:-

    • 2022 : Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran
    • 2021 : Manhaj Rabbani, Ummah Berkualiti
    • 2020 : Ummah Rabbani Negara Harmoni
    • 2019 : Negara Rahmah, Ummah Sejahtera
    • 2018 : Menyantuni Umat Membawa Rahmat
  • Lokasi Sambutan Peringkat Kebangsaan
    • 2022 : Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada 29 Julai 2022 (Jumaat), 6.45 petang secara langsung di TV1.
    • 2021 : Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA), Putrajaya
      • Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkenan untuk menyampaikan titah perutusan khas secara hibrid sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 2021. Program akan diadakan secara hibrid bermula jam 6 petang hari Isnin, 9 Ogos 2021 di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA), selepas mendapat kelulusan Sidang Majlis Keselamatan Negara (MKN). Majlis akan turut dihadiri Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Program akan berlangsung secara sederhana tetapi penuh bermakna, dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dan kehadiran minimum. Program akan disiarkan secara langsung di TV1 dan disambung siar oleh TV Al-Hijrah serta media sosial rasmi JAKIM. Stesen radio termasuk Nasional FM dan Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), akan turut membuat lintas langsung.
    • 2020 : Masjid Negara, Kuala lumpur
      • Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan dijadual akan diadakan pada pukul 5.00 petang 19 Ogos (Rabu) dan bakal disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Ianya akan disiarkan secara Iangsung menerusi saluran TV1 dan TV AI-Hijrah
    • 2019 : Dewan Perdana, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC)
    • 2018 : Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
    • 2017 : Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
    • 2016 : Taman Ekspo Agropertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Selangor
  • Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan

    • 2023 : YBhg. Datuk Dr. Abd Monir Yaacob, Mantan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
    • 2022 : Tan Sri Dato’ Haji Othman Bin Mustapha, Mantan Ketua Pengarah JAKIM dan Mantan Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia
    • 2021 : Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad, Bekas Imam Besar Masjid Negara
    • 2020 : Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan
    • 2019 : Datuk Seri Ir. Zaini Ujang, Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air
    • 2018 : Dato’ Prof Dr Siddiq Fadzil, Presiden Kolej Dar al-Hikmah
    • 2017 : Tun Sakaran Dandai : Bekas Yang Dipertua Negeri Sabah dan bekas Ketua Menteri Sabah
    • 2016 – Tun Dr. Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim – Pro Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM)
  • Anugerah Khas Maal Hijrah
    • Tahun 2016 – Allahyarham Datuk Dr Haron Din
  • Anugerah Tokoh Antarabangsa Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan
    • Tahun 2023 : Al-Allamah Sheikh Abu Bakar Ahmad Al-Malibari, Mufti Besar India
    • Tahun 2022 – YB Oknha Datuk Dr. Othsman Hassan, Menteri Kanan Menjaga Misi Khas (Hal Ehwal Islam) Kemboja

Tema Maal Hijrah 2022/ 1444H

Sambutan Maal Hijrah tahun 2022 bersamaan 1444 Hijrah bertemakan :-

  • “Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran”

Tema Maal Hijrah 2021/ 1443H

Sambutan Maal Hijrah tahun 2021 bersamaan 1443 Hijrah bertemakan :-

  • “Manhaj Rabbani, Ummah Berkualiti”

Pada Januari 2021, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr. Zulkifli Al Bakri telah memperkenalkan Dasar Manhaj Rabbani. Selaras dengan tema sambutan maal hijrah pada tahun ini, dasar ini berpaksikan tiga ciri utama iaitu Thaqafah (keilmuan) Ruuhaniyyah (kerohanian) dan Da’wah (aktivisme).

Menurut beliau, negara memerlukan satu panduan atau hala tuju menghadapi kekalutan dunia sedang bergelut dengan pandemik COVID-19 serta isu lain yang menghimpit masyarakat. Teras kepada dasar yang diperkenalkan ialah Maqasid Syariah dan akan diselia di bawah Bahagian Maqasid Syariah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Tujuh prinsip utama dijadikan hala tuju, iaitu:

  1. ‘Rahmat’ membabitkan pentadbiran yang membawa mesej kasih sayang, kesusilaan serta kecaknaan merentasi agama dan bangsa.
  2. ‘Aman’, iaitu pentadbiran yang membawa mesej kesederhanaan atau wasatiyyah Islam, menolak ekstremisme (ifrat) dan Islam liberal (tafrit), serta menyeru kepada keharmonian antara agama dan fiqh ta’ayush (co-existence).
  3. ‘Bertuhan’, iaitu pentadbiran yang menjadikan nilai agama berteraskan Maqasid Syariah, sebagai paksi dalam merancang segala dasar, kaedah pelaksanaan dan penyelesaian permasalahan.
  4. ‘Bakti’, iaitu pentadbiran yang menekankan kebajikan, kemanusiaan dan bakti kepada ummah merentasi agama dan bangsa.
  5. ‘Adil’, iaitu pentadbiran yang menjunjung tinggi prinsip perundangan dalam menegakkan keadilan sebagaimana dituntut Islam dan Perlembagaan Persekutuan.
  6. ‘Nurani’ membabitkan pentadbiran yang mengangkat nilai kerohanian dan logik bertunjangkan wahyu dalam mendepani apa jua cabaran semasa
  7. ‘Insani’ dengan pentadbiran yang mempertahankan fitrah kemanusiaan dan kemuliaan insan (karamah insaniyyah).

Tujuh Prinsip di atas akan diterjemahkan mengikut bidang keutamaan yang berada di bawah bidang pengukuran i-MaqSD. Penjelasan lanjut dan pelan tindakan mengenai dasar ini akan diperincikan oleh JAKIM bersama pejabat Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

“Ummah Rabbani Negara Harmoni”

Bagi tahun 2020, Tema Maal Hijrah adalah :-

  • “Ummah Rabbani Negara Harmoni”

Menurut JAKIM, Tema yang dipilih adalah bertepatan dengan realiti kehidupan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai masyarakat majmuk berbilang bangsa, bahasa dan agama yang telah pun dicontohkan di zaman Nabi Muhamad SAW.

Kewujudan masyarakat yang bersatu atas kepelbagaian ini bukanlah sesuatu yang asing dalam Islam. Ummah Rabbani teras kekuatannya adalah modal insan yang berkualiti dan merupakan tunjang dalam kebanyakan pelan-pelan yang dibangunkan oleh kerajaan.

Konsep negara harmoni dalam kepelbagaian ini amat berkait rapat dengan maqasid Syariah dan perkara ini turut dinyatakan oleh Imam AI-Ghazali sebagai maslahah yang mengambil manfaat dan menolak keburukan.

“Negara Rahmah, Ummah Sejahtera”

Untuk sambutan tahun 1441H/ 2019 Masehi, tema sambutan Maal Hijrah adalah

  • “Negara Rahmah, Ummah Sejahtera”

Pemilihan tema adalah bertepatan dengan Islam yang merupakan agama rahmah, mengajak manusia untuk saling hormat menghormati, berkasih sayang, bertoleransi, saling memaafkan dan bersifat belas kasihan. Tambahnya, kasih sayang yang dianjurkan oleh Islam dapat dilihat melalui konsep rahmah seperti ditekankan dalam al-Quran dan konsep Rahmatan Lil ‘Alamin yang dibawa oleh Rasulullah SAW merangkumi segenap aspek kehidupan termasuk sikap adil, berkasih sayang, bertolak ansur, bersangka baik, berlemah lembut, perdamaian dan harmoni.

Dalam membina dan menyuburkan suasana kehidupan harmoni, pembangunan kerangka konsep Rahmatan Lil ‘Alamin di Malaysia seharusnya mengambil kira asas-asas konsep tersebut seperti termaktub di dalam al-Quran dan hadis.

Sifat rahmah adalah bukti ketingggian akhlak dan keperibadian unggul sesebuah masyarakat. Semoga dengan penghayatan konsep rahmah oleh setiap individu Muslim Malaysia dapat menjadi model negara Islam terbaik dan mencipta kegemilangan dalam kalangan negara-negara Islam serta negara bukan Islam sedunia,

Pada majlis sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan, seorang penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan akan dipilih dan bakal menerima wang tunai RM100,000, pingat dan sijil penghargaan.

Senarai Tema Maal Hijrah 2013 Hingga 2022

Sebagai rujukan bersama, berikut adalah senarai tema Maal Hijrah sebelum ini dari tahun 2013 hingga tahun lepas :-

  1. “Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran” (2022)
  2. “Manhaj Rabbani, Ummah Berkualiti” (2021)
  3. “Ummah Rabbani Negara Harmoni” (2020)
  4. “Negara Rahmah, Ummah Sejahtera” (2019)
  5. “Menyantuni Umat Membawa Rahmat” (2018)
  6. “Kesatuan Ummah Kesejahteraan Negara” (2017)
  7. “Ukhuwah Islamiah Asas Penyatuan Ummah” (2016)
  8. “Perpaduan Nadi Transformasi Negara” (2014 & 2015)
  9. “Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah’ (2013)

Doa Akhir Tahun Dan Awal Tahun Hijrah

Bersempena dengan kedatangan tahun baru Islam 1445 Hijrah, amalan yang biasa dilakukan sempena menyambut bulan Muharram ialah bacaan doa akhir tahun dan doa awal tahun. Walaupun terdapat beberapa pandangan tentang bacaan doa ini, namun selagi ia merupakan doa yang tidak bercanggah dengan Al-Quran dan Al-Sunnah, maka ianya baik untuk umat Islam dan boleh diamalkan tanpa halangan.

Berikut dikongsikan Doa Akhir Tahun dan Awal Tahun Hijrah Dalam Rumi sebagai panduan kepada umat Islam semua. Anda boleh merujuk kepada Kalendar Islam untuk tarikh-tarikh penting dalam Islam sebagai rujukan dan panduan.

  1. Doa Akhir Tahun dibaca 3 kali pada akhir waktu Asar atau sebelum masuk waktu Maghrib pada akhir bulan Zulhijjah.
  2. Manakala Doa Awal Tahun dibaca 3 kali selepas maghrib pada malam satu Muharram.
  3. Klik Panduan Bacaan Doa Awal Dan Akhir Tahun Hijrah

Antara kemulian bulan-bulan haram ini termasuk bulan Muharram adalah disunatkan berpuasa. Daripada Abu Hurairah dalam Hadith marfu’ telah berkata: Nabi ditanya: Apakah solat yang lebih afdhal selepas solat fardhu? dan apakah puasa yang lebih afdhal selepas bulan Ramadhan? Maka jawab Nabi: Sebaik-baik solat selepas solat yang telah difardhukan ialah solat pada pertengahan malam dan sebaik-baik puasa selepas bulan Ramadhan adalah puasa pada bulan-bulan Allah (bulan-bulan haram). Hadith diriwayatkan oleh Imam Muslim, Abu Daud, Al-Tirmizi, Al-Nasai’e dan Ibn Majah.

Di samping itu, disunatkan juga kepada umat Islam untuk berpuasa pada 9 dan 10 Muharram. Ini kerana tarikh 10 Muharram (atau dinamakan hari ‘Asyura yang bermaksud sepuluh) mempunyai nilai sejarahnya yang tersendiri. Manakala disunatkan juga berpuasa pada 9 Muharram sebagai mukhalafah (membezakan) di antara kaum Yahudi yang turut berpuasa pada 10 Muharram.

Informasi Maal Hijrah/ Bulan Muharram

Peristiwa Rasulullah SAW bersama-sama Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq berhijrah dari Kota Makkah ke Kota Madinah sebagaimana yang dilambangkan dengan sarang labah-labah merupakan kemuncak penghijrahan kaum Muhajirin yang tiada tolok bandingnya dalam sejarah tamadun manusia.

Peristiwa tersebut merupakan suatu ikatan yang memecahkan tembok bangsa, kaum, qabilah, adat resam dan bangsa. Pengorbanan yang besar kerana agama dan perpaduan umat Islam telah mencetuskan keagungan Islam dan umatnya yang seterusnya membawa cahaya kemajuan dan tamadun ke seluruh dunia.

Maksud logo maal hijrah
Pengertian Logo Maal Hijrah

Bulan Muharram

MUHARAM adalah bulan pertama dalam Sistem Kalendar Islam (Hijriah). Pada asasnya, Muharam membawa maksud ‘diharamkan’ atau ‘dipantang’, iaitu Allah SWT melarang melakukan peperangan atau pertumpahan darah.

Namun demikian larangan ini ditamatkan setelah pembukaan Makkah (Al Baqarah: 91).

Sejak pemansuhan itu, umat Islam boleh melaksanakan tugas dan ibadat harian tanpa terikat lagi dengan larangan berkenaan. Rasulullah s.a.w telah menamakan bulan Muharam sebagai bulan Allah (shahrullahi).

Bulan Haram

Bulan Muharram merupakan salah satu dari bulan-bulan ‘Haram’ di dalam Islam. Firman Allah swt dalam Surah Al-Taubah ayat 36 bermaksud:

“Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul dan lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya) dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya dan ketahuilah sesungguhnya Allah berserta orang yang bertakwa.”

Menurut Tafsir Al-Jalalayn, yang dimaksudkan dengan “di antaranya empat bulan yang dihormati” ialah: Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab. Allah swt telah mengurniakan kepada manusia empat bulan haram. Umat Islam diharamkan pergi berperang dalam bulan-bulan ini, kecualilah jika mereka diperangi.

Manakala Hadith Rasulullah saw yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari daripada Abu Bakrah pula bermaksud:”Satu tahun itu ada dua belas bulan, di antaranya ada empat bulan yang dihormati , tiga bulan berturut-turut iaitu Zulkaedah, Zulhijah, dan Muharram, satu lagi Rejab berada antara bulan Jamadilakhir dan Syaaban.”

Kepada umat Islam semua, Selamat menyambut Tahun Baru Islam. Salam Maal Hijrah 2023 / 1445H. Semua kita terus bersatu padu dengan lebih kukuh dalam membentuk negara dan agama yang mantap sesuai dengan Tema Maal Hijrah yang dipilih tahun ini.

Tinggalkan Komen

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *