Niat Puasa Ramadhan Harian Dan Sebulan (Bacaan Dalam Rumi dan Arab), Sahaja aku puasa esok hari menunaikan fardhu Ramadhan tahun ini kerana Allah Ta'ala.

Niat Puasa Ramadhan Harian Dan Sebulan (Bacaan Rumi & Arab)

Bagaimana cara lafaz niat puasa Ramadhan secara harian dan niat sebulan? Bulan suci Ramadhan adalah bulan yang paling dinanti oleh semua. Setiap tahun, umat Islam di Malaysia akan mengerjakan ibadah puasa wajib pada bulan ke sembilan dalam Kalendar Islam iaitu Bulan Ramadhan.

Tarikh awal ramadhan di Malaysia pada tahun 2024 bersamaan dengan tahun 1445 Hijrah adalah pada hari Selasa, 12 Mac 2024 berdasarkan kepada tarikh penting dalam Kalendar Islam 2024. Buat mereka yang masih belum menggantikan puasa (qadha puasa), lekas-lekaslah berbuat demikian sebelum munculnya bulan Ramadhan.

Untuk kemudahan bersama, dikongsikan Lafaz Niat Harian/ Sebulan Puasa Ramadhan Dalam Rumi yang berguna semasa bulan Ramadhan.

lafaz niat puasa ramadhan dan doa berbuka puasa dalam rumi

Lafaz Niat Puasa Ramadhan Harian Dan Niat Sebulan (Dalam Arab & Rumi)

Menurut bahasa: Puasa ialah menahan diri daripada melakukan sesuatu seperti makan, minum dan bercakap. Menurut syara’: Puasa ialah menahan diri daripada sebarang perkara yang membatalkan puasa, bermula dari terbit fajar hingga matahari terbenam dengan niat.

Umat Islam yang mempunyai cukup syarat diwajibkan berpuasa di bulan Ramadan pada siang hari bersandarkan kepada dalil seperti berikut :-

Al-Quran

Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan berpuasa keatas kamu sebagaimana diwajibkan ke atas orang yang terdahulu daripada kamu, mudah-mudahan kamu bertakwa (Surah Al-Baqarah, ayat 183)

Hadis

Daripada Ibnu Umar dari Nabi Muhammad S.A.W bersabda; Islam itu dibina atas lima perkara, bersaksi Tiada Tuhan Selain Allah dan Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah, Mendirikan Sembahyang, Membayar Zakat, Puasa Pada Bulan Ramadhan dan Menunaikan Haji (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis Rasulullah s.a.w: Ditegaskan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya yang diriwayatkan oleh Ahmad, An- Nasa’i dan Al Baihaqi dari Abu Hurairah, yang bermaksud:

“Sesungguhnya telah datang kepada kamu bulan Ramadhan bulan yang penuh berkat. Allah telah fardhukan ke atas kamu berpuasa padanya. Sepanjang bulan Ramadhan itu dibuka segala pintu Syurga dan ditutup segala pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan”

Hukum Mengerjakan Puasa Ramadhan

Hukumnya adalah Fardhu Ain dan kefardhuan ini ditetapkan oleh dengan al-Quran, al-Sunnah dan Ijmak Ulama. Waktu berniat adalah bermula daripada terbenam matahari, yakni masuk waktu sembahyang fardhu Maghrib (Azan Maghrib) hinggalah sebelum terbit fajar shadiq (waktu Subuh). Oleh itu, bolehlah dilakukan berniat untuk puasa pada mana-mana bahagian daripada waktu tersebut, walaupun semasa berbuka.

Berniat adalah merupakan syarat sah berpuasa dan hukumnya adalah wajib. Tanpa niat maka tidak sah puasa seseorang itu. Ini kerana berpuasa itu adalah satu ibadah (ibadah mahdhoh) dan sesuatu ibadah itu tidak sah melainkan disertakan bersamanya niat seperti mana solat.

Bacaan Niat Puasa Ramadhan Dalam Arab Dan Rumi

Berikut dikongsikan cara niat puasa Ramadhan dan doa buka puasa berserta maksud dan bacaan dalam rumi.

Adalah tidak wajib dan tidak juga sunat berniat dalam bahasa Arab, memadai jika ianya di baca dalam bahasa Melayu atau apa-apa bahasa yang kita fahami. Tetapi baik dan berpahala jika diamalkan dalam bahasa Arab dengan niat kita cinta kepada bahasa Arab sebagai bahasa Nabi Muhammad s.a.w. dan bahasa Al-Quran

1. Niat Harian

Nawaitu Souma Ghadin 'An Ada-'i, Fardhi Syahri Ramadhana Hazihis Sanati Lil'lahi Ta'ala

نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ عَنْ أَدَاءِ فَرْضِ شَهْرِ رَمَضَانِ هذِهِ السَّنَةِ لِلهِ تَعَالَى

Rumi: Nawaitu Souma Ghadin ‘An Ada-‘i, Fardhi Syahri Ramadhana Hazihis Sanati Lil’lahi Ta’ala

Maksudnya: Sahaja aku puasa esok hari menunaikan fardhu Ramadhan tahun ini kerana Allah Ta’ala

2. Niat Sebulan Ramadhan (Sepenuhnya Untuk Sebulan)

Nawaitu Souma Syahri Ramadhana Kul'lihi Lil'lahi Ta'ala

نَوَيْتُ صَوْمَ شَهْرِ رَمَضَانَ كُلِّهِ لِلَّهِ تَعَالَى

Rumi: Nawaitu Souma Syahri Ramadhana Kul’lihi Lil’lahi Ta’ala

Maksudnya: Sahaja aku berpuasa sebulan Ramadhan seluruhnya kerana Allah Ta’ala

Boleh Atau Tidak Berniat Puasa Sebulan Terus

Untuk panduan umat Islam, berikut dikongsikan soal jawab agama berkaitan ibadat puasa samada kita dibolehkan atau tidak untuk berniat sebulan terus yang dikongsikan dari Portal Rasmi Mufti WP.

SOALAN : Adakah perlu memperbaharui niat pada setiap malam atau berpada dengan niat 30 hari sekaligus dipermulaan niat?

JAWAPAN : Ini merupakan antara permasalahan yang sering timbul dikalangan masyarakat Islam, para ulama’ telah terbahagi kepada dua pendapat di dalam permasalahan ini:

1. Pertama: Boleh diniatkan terus sebulan berpuasa dan ini merupakan pendapat al-Imam Zufar dan al-Imam Malik. Mereka mengatakan bahawa berpadalah bagi seseorang itu untuk berniat sekali sahaja iaitu dengan meniatkan sebulan berpuasa pada awal permulaan niat.[malam pertama] Ianya sepertimana solat yang mana seseorang itu hanya perlu niat dipermulaan solat dan tidak perlu mengulanginya pada rakaat-rakaat yang lain. Begitu juga pendapat mereka bagi puasa yang berturutan seperti puasa kafarah dan juga puasa kafarah bagi had zihar

2. Kedua: Tidak berpada dengan niat sebulan sekaligus bahkan perlulah memperbaharui niat pada setiap malam.[2] Ini adalah pendapat jumhur berdasarkan keumuman hadith Hafsah R.Anha sebelum ini. Ini kerana, puasa itu setiap harinya adalah ibadah yang bersendiri (mustaqil). Ia tidak terikat antara satu sama lain (dengan hari lain-lainnya). Puasa pada hari berikutnya juga tidak rosak sekiranya pada hari ini rosak. Tidak seperti solat yang mana sekiranya batal di rakaat pertama, maka batallah keseluruhan solat itu.

Tarjih

Berdasarkan dalil dan juga alasan yang diberikan dalam permasalahan ini, kami lebih cenderung kepada pendapat jumhur dan ianya juga adalah pendapat mazhab kita, mazhab al-Syafi’ie iaitu niat perlulah diperbaharui pada setiap malam untuk berpuasa. Adapun pendapat yang mengatakan boleh berniat sekaligus untuk berpuasa selama sebulan di permulaan niat, maka kami katakan tiada masalah untuk melakukannya sebagai langkah berjaga-jaga dan dalam masa yang sama hendaklah seseorang itu berniat juga pada setiap malam.

Wallahu a’lam.

Adab Ketika Berpuasa Ramadhan

Berikut adalah perkara-perkara yang perlu diberikan perhatian sewajarnya semasa berpuasa:-

1. Bersegera ketika berbuka

2. Bersahur

3. Melewatkan sahur

4. Meninggalkan kata-kata keji dan perbuatan serta perkataan yang memberahikan

5. Mandi janabah (mandi wajib) sebelum terbit fajar

6. Meninggalkan perbuatan berbekam

7. Meninggalkan perbuatan merasa makanan atau mengunyahnya pada hari puasa

8. Berdoa ketika berbuka

9. Memberi makan kepada orang yang berpuasa

10. Memperbanyakkan sedekah, membaca Al-Quran, dan beri’tikaf di masjid

Perkara Makruh Ketika Berpuasa Ramadhan

1. Memasukkan air kedalam rongga hidung secara berlebihan

2. Bersuntik – suntikan yang mengandungi rawatan dan boleh memberi tenaga, tidaklah batal puasa

3. Berbekam – Apabila seseorang itu berbekam di siang Ramadan ataupun puasa sunat adalah di bolehkan dan tidak membatalkan puasa tersebut

4. Berkumur secara berlebihan

5. Rasa makanan dihujung lidah

6. Mandi yang berlebihan

7. Bersiwak (berus gigi) selepas gelincir matahari menurut Imam al-Syafie dan Ahmad

Golongan Yang Diberi Rukhsah (Kemudahan) Untuk Berbuka

1. Orang Musafir

2. Orang Sakit

3. Perempuan Mengandung dan Menyusu Bayi

4. Orang Tua Yang Lemah

5. Pesakit Yang Tiada Harapan Sembuh

Semoga perkongsian diatas bermanfaat buat semua. Perbanyakkan amalan dan moga amalan kita diterima oleh Yang Maha Esa.

Rel : wajib berniat pada bulan ramadhan tahun ini kerana allah ta ala, maksudnya sahaja aku berpuasa keseluruhan pada bulan ramadhan kerana allah, ر م ض ان
kaffarah nazar ataupun sunat isnin khamis hari arafah asyura, menggariskan beberapa syarat di sisi al malikiyyah al syafi iyyah dan juga al hanabilah, dua pendapat mazhab kita mazhab al syafi ie iaitu niat perlulah diperbaharui pada setiap malam untuk berpuasa, kedua tidak perlu diperbaharui pada setiap malam untuk berpuasa, dimaksudkan di sisi al malikiyyah al syafi iyyah dan juga al hanabilah, permasalahan ini kerana allah ta ala, lafaz niat perlulah diperbaharui pada setiap malam untuk berpuasa,

Tinggalkan Komen

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *