Pencemaran Alam Sekitar - Jenis, Punca, Kesan Dan Cara Mengatasi. Pencemaran udara air tanah bunyi sisa pepejal dan kesan & cara mengatasi.

Pencemaran Alam Sekitar – Kesan Dan Cara Mengatasi

Isu pencemaran alam sekitar merupakan masalah yang menjadi liputan utama akhbar masa kini dan ianya semakin semakin serius sejak akhir-akhir ini. Banyak punca atau penyebab kepada perkara ini yang antara lain disebabkan pembangunan yang tidak terkawal dan pertambahan penduduk yang tinggi terutama di bandar besar yang menyebabkan semakin banyak sumber yang diperlukan untuk meningkatkan hasil pengeluaran bagi menampung kehidupan dan penggunaan penduduk.

Ramai orang pada masa kini sedar akan kemerosotan alam sekitar akibat kesan negatif. Kemerosotan alam sekitar telah mencapai krisis dan boleh dianggap sebagai bencana. Di antara perkara yang diberi perhatian termasuklah situasi pencemaran di bandar-bandar besar, kesesakan lalu lintas, banjir kilat, pencemaran air, pencemaran udara, bunyi dan tanah tanih.

Pencemaran Alam Sekitar - Jenis, Punca, Kesan Dan Cara Mengatasi

Jenis, Punca, Kesan Dan Cara Mengatasi Pencemaran Alam Sekitar

Tidak dapat dinafikan bahawa pembangunan adalah amat penting untuk kemajuan sesebuah negara. Namun pembangunan yang tidak mengambil kira ataupun tidak diseimbangkan dengan kemampuan alam sekitar sudah semestinya akan menyebabkan konsep pembangunan berterusan tidak dapat direalisasikan.

Akibatnya bukan hanya generasi ini sahaja yang akan mengalami masalah tetapi generasi masa
depan akan mewarisi masalah yang diwujudkan pada masa ini. Oleh itu, timbullah pelbagai isu dan masalah berkenaan kualiti alam sekitar yang semakin merosot dan diburukkan lagi dengan pelbagai kelemahan dan kekangan dalam menangani isu dan masalah tersebut.

Definasi Pencemaran

Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengatakan bahawa “pencemaran” adalah suatu  perbuatan yang mencemarkan (mengotorkan) – pengotoran alam –perbuatan mencemarkan kebersihan alam sekeliling dengan sampah sarap.

Definasi Alam Sekitar

Perkataan alam sekitar atau dalam bahasa Inggeris disebut “environment” membawa maksud keadaan sekeliling atau lingkungan. Oleh itu, sekirannya berdasarkan kepada terjemahan literal, maka perkataan “alam sekitar” adalah menuju kepada apa sahaja yang melingkungi manusia. Bagaimanapun, secara khusus perkataan alam sekitar merujuk kepada fenomena fizikal yang melingkungi suatu organisma di muka bumi. Fenomena fizikal ini termasuk juga fenomena yang berkait dengan iklim dan cuaca

Jenis-Jenis Pencemaran Alam Sekitar

Terdapat pelbagai cara pencemaran boleh berlaku. Ianya terbahagi kepada dua jenis iaitu :-

A. Pencemaran yang disebabkan oleh faktor semulajadi

Pencemaran yang disebabkan oleh faktor semulajadi adalah pencemaran yang berlaku dengan sendirinya setelah berlakunya bencana alam seperti letusan gunung berapi, dilanda ribut taufan, gempa bumi dan sebagainya .

B. Pencemaran yang disebabkan oleh faktor manusia

Pencemaran yang disebabkan oleh faktor manusia adalah pencemaran yang dilakukan oleh manusia samada sengaja atau tidak disengajakan.

1) Pencemaran Udara

Pencemaran udara adalah merupakan satu keadaan yang melibatkan pengenalan sebarang bahan kimia, jirim zarahan atau bahan biologi yang boleh menyebabkan mudarat kualiti udara, ketidak selesaan kepada manusia atau organisma hidup lain serta merosakkan alam sekitar apabila ianya dibebaskan ke atmosfera.

  • Contoh pencemar udara adalah seperti gas karbon dioksida, sulfur dioksida, klorofloro karbon, bau-bauan, logam toksik seperti plumbum tembaga dan sisa radioaktif.

Pencemaran udara berpunca daripada pelepasan asap kotor oleh industri terus ke udara melalui cerobong asap kilang, kenderaan motor di jalan raya dan letusan gunung berapi. Di antara kesan pencemaran udara adalah penipisan lapisan ozon, jerebu, hujan asid dan pemanasan bumi. Pencemaran udara mungkin boleh memberi kesan terhadap kesihatan, keselamatan dan keselesaan manusia ataupun harta benda.

Faktor Atau Punca-Punca Pencemaran Udara

  1. Aktiviti Pembangunan Dan Perindustrian
    1. Perkembangan ekonomi dunia bergantung kepada industri-industri yang menghasilkan barang untuk dieksport atau untuk aktiviti perniagaan domestik. Namun,ini telah menambah buruk keadaan pencemaran udara dunia. Pelepasan nitrogen,sulfur dioksida, hidrokarbon dan karbon dioksida telah membawa kesan sampingan kepada kehidupan alam sekitar. Selain itu, bukan sahaja gas pencemar dilepaskan oleh industri, manakala habuk-habuk yang mampu mengakibatkan sesak nafas juga dilepaskan
  2. Kenderaan Motor
    • Kenderaan motor merupakan penyumbang pencemaran utama di dunia. Masyarakat moden amat bergantung kepada pengangkutan bermotor seperti kereta,motor, lori, kapal terbang dan sebagainya. Setiap kenderaan motor memerlukan tenaga yang banyak untuk bergerak dan ini perlu melalui proses pembakaran bahan api fosil untuk menghasilkannya. Akibatnya, gas karbon monoksida, nitrus oksida, hydrokarbon dan habuk-habuk terhasil
  3. Pembakaran Terbuka
    • Pembakaran terbuka sering berlaku di kawasan tapak pelupusan sampah, sisa pepejal di kawasan industri dan tapak pembinaan, sisa perladangan, sisa kebun serta pembakaran di hutan simpan. Akibatnya partikel jelaga yang boleh diterbangkan ke jarak jauh oleh angin telah dihasilkan. Akhirnya, keadaan jerebu berlaku di sekeliling tempat. Keadaan tersebut akan menjadi lebih serius pada musim panas panjang kerana ia turut menyumbang kepada masalah jerebu yang mampu menjejaskan kesihatan awam
  4. Aktiviti Harian Manusia
    • !si rumah menyumbang kepada pencemaran udara melalui penggunaan tenaga untuk mesin dan perkakas elektrik seperti peti sejuk dan penyaman udara. Apabila cecair penyejuk digunakan, gas “lorofluorokarbon CFC” akan dilepaskan ke udara dan ia mampu menipiskan lapisan ozon. Selain itu, penggunaan peralatan rumah seperti penyembur aerosol yang mengandungi CFC juga menyebabkan pencemaran udara

Kesan-Kesan Pencemaran Udara

Berikut adalah kesan pencemaran udara :-

  1. Kesan kepada Kesihatan Manusia
    • Kesan utama pencemaran udara kepada manusia adalah sistem pernafasan. Gas-gas seperti karbon monoksida akan meracuni sistem pengangkutan oksigen dalam darah dan melambatkan tindak balas manusia. Kesan seterusnya akan menyebabkan seseorang itu mengantuk, mempunyai penyakit lelah dan mengurangkan fungsi paru-paru.
  2. Kesan kepada Tumbuhan
    • Mengalami kerosakan nekrosis – keguguran daun), klorosis – pertukaran warna), dan pertumbuhan terbantut. Kesan ini juga akan menyebabkan sebahagian daripada penduduk bumi kekurangan sumber makanan dan ekonomi yang akhirnya menganggu kehidupan seharian. Selainitu, kesan itu akan mengganggu keseimbangan ekosistem.
  3. Kesan kepada haiwan
    • Haiwan akan terancam atau mati akibat daripada pencemaran udara. Perkara ini disebabkan oleh udara yang memasuki paru-paru haiwan. Selain itu, makanan daripada sumber tumbuhan akan tercemar oleh pencemaran udara.
  4. Kesan kepada bahan
    • Bermaksud kerosakan berlaku akibat daripada pencemaran udara seperti kekotoran pada pakaian, pencemaran pada permukaan dinding bangunan dan sebagainya. Perkara ini berlaku akibat daripada pengenapan asap atau zarah halus.Hakisan logam juga merupakan kesan daripada pencemaran udara akibat kehadiran sulfur dioksida di dalam udara.
  5. Penipisan Lapisan Ozon
    • Pencemaran udara akan menyebabkan berlakunya pemanasan global akibat daripada penyusutan lapisan ozon yang melindungi bumi daripada sinaran terus cahaya matahari. Pendedahan secara terus kepada cahaya matahari boleh menyebabkan kanser kulit. Di samping itu, pancaran matahari yang terik juga akan menyebabkan berlakunya pencairan ais di bahagian kutub bumi. Pada masa kini,ekosistem di dunia mengalami ketidakseimbangan.
  6. Hujan Asid

    • Ianya berlaku disebabkan oleh penggabungan gas sulfur dioksida dan nitrogen oksida dengan air hujan dan seterusnya menjadi asid sulfurik dan asid nitrik. Asid ini akan terkumpul di dalam awan dan bergerak ke tempat-tempat lain. Asid tersebut akan turun bersama-sama dengan hujan dan menimpa hidupan yang terdapat di dunia.Kesannya, ia membunuh tumbuh-tumbuhan dan juga hidupan air. Tambahan pula, ia juga boleh menghakis pakaian, kertas dan bahan binaan bangunan. Selain itu, asid tersebut juga meresap ke dalam tanah dan menyebabkan kualiti tanah berkurang serta tidak subur
  7. Kesan Rumah Hijau Dan Pemanasan Global
    • Kesan yang paling ketara dan sedang hangat diperbincangkan di seluruh negara pada masa kini adalah tentang kesan pemanasan global yang disebabkan oleh kesan rumah hijau. Kenaikan suhu bumi dan penipisan lapisan ozon juga menjadi punca kepada pemanasan global yang dapat dirasakan oleh seluruh dunia. Kenaikan suhu bumi adalah disebabkan oleh pembebasan gas-gas karbon dioksida yang terkumpul di dalam udara.Gas karbon dioksida yang terlalu banyak telah menyebabkan haba di bumi terperangkap dan akhirnya suhu bumi meningkat dan persekitarannya menjadi panas. Penyusutan lapisan ozon juga menyebabkan kejadian pemanasan global ini. Kesannya adalah permukaan bumi akan menjadi panas, ekosistem terganggu,banjir berlaku secara kerap dan juga berlakunya kejadian alam yang tidak normal.
  8. Atmosfera
    • Kesan terhadap atmosfera yang dibawa oleh pencemaran udara pula ialah mengurangkan jarak penglihatan akibat jerebu.

Pencemaran Alam Sekitar - Kesan Dan Cara Mengatasi

Cara Mengatasi Kesan Pencemaran Udara

Pelbagai usaha untuk menangani isu-isu alam sekitar telah dilakukan sama ada oleh kerajaan, pihak swasta dan masyarakat sendiri melalui cara perundangan dan bukan perundangan namun hasilnya tetap tidak memuaskan. Keadaan ini disebabkan oleh pelbagai kelemahan dan kekangan dalam melaksanakan langkah-langkah tersebut.

1. Menghijaukan Kawasan

Penanaman pokok seperti pokok buah-buahan di persekitaran taman perumahan dapat mengurangkan masalah peningkatan suhu. Selain itu, kandungan karbon dioksida dalam udara dapat dikurangkan dan meningkatkan kandungan gas oksigen melalui proses fotosintesisnya.

2. Penggunaan Petrol Tanpa Plumbum

Dapat mengurangkan kandungan plumbum dalam pelepasan asap kenderaan. Langkah ini dapat mengurangkan masalah jerebu yang sering berlaku di waktu pagi dan juga dapat mengelakkan masalah kesihatan seperti batuk dan selsema daripada berlarutan.

3. Program Kitar Semula

Udara yang tercemar akibat pembakaran terbuka yang dilakukan penduduk di sekitar taman perumahan boleh diatasi dengan menggalakkan mereka menjual barang-barang yang boleh dikitar semula kepada peniaga barang terpakai. Di antara barang yang boleh dikitar semula ialah surat khabar, majalah lama, kertas terpakai dan kotak kertas.Barang-barang ini boleh diproses semula untuk menghasilkan kertas baru

4. Kempen

Kempen mencintai alam sekitar yang disiarkan dalam TV dan radio hendaklah dihayati supaya alam sekitar kita terpelihara. Rasa tanggungjawab perlu disemai dalam diri setiap individu agar alam sekitar bersih dan selamat untuk generasi akan datang.

5. Tindakan Undang-Undang

Salah satu langkah yang dapat digunakan untuk mengatasi pencemaran alam ialah pihak berwajib menghukum individu atau organisasi yang telah didapati bersalah membuat pencemaran alam sekitar. Pihak berwajib seperti Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar wajar menguatkuasakan undang-undang yang sedia ada untuk menghukum pihak-pihak yang berkenaan. Hukuman yang dikenakan hendaklah setimpal dengan kesalahan pihak terbabit mencemarkan alam.

6. Memperkenalkan Pendidikan Alam Sekitar

Selain itu pihak sekolah hendaklah memperkenalkan pendidikan alam sekitar kepada murid-murid sekolah. Pendidikan alam sekitar melibatkan pelbagai aspek yang menjurus ke arah pengekalan alam yang sejahtera. Satu kurikulum yang khusus perlu digubal agar pendedahan yang sistematik dapatd ilaksanakan. Kurikulum ini boleh diselitkan dalam mata-mata pelajaran lain dan boleh juga dijadikan mata pelajaran khusus. Hal ini bertujuan untuk menyemaikan kesedaran secara lebih berkesan.

2) Pencemaran Air

Proses globalisasi yang membawa kepada kemajuan negara menyebabkan masalah pencemaran alam sekitar kian berleluasa. Masalah itu juga mengakibatkan berlakunya kerosakan sistem sungai yang membekalkan sumber air mentah kepada rakyat. Meskipun sumber air tidak pupus, tetapi air yang dapat digunakan oleh manusia dengan selamat adalah semakin berkurangan. Setiap isu atau masalah yang timbul telah menyedarkan kita betapa seriusnya masalah pencemaran air di negara kita.

Punca Pencemaran Air

Pencemaran air dapat dikategorikan seperti berikut :-

i. Keracunan atau toksisiti

Logam berat seperti plumbum, merkuri, kuprum, arsenik dan kromium yang digunakan dalam penyalutan timah, penyaduran dan larutan penyalutan kromium boleh bertindak sebagai penghalang metabolik atau penafasan dalam banyak organisma, dan merencat atau memusnahkan enzim yang diperlu untuk proses-proses kehidupan.

Logam-logam berat ini mempengaruhi organism pengurai bersama-sama kehidupan peringkat tinggi, maka penambahannya yang berlebihan ke dalam sistem akuatik boleh memusnahkan. Pencemar-pencemar yang beracun ini diserap oleh lumpur di bawah dan dilepaskan apabila mendapan di bawah diganggu.

ii. Kemasinan atau saliniti

Ini berlaku apabila air garam dari lombong atau telaga minyak dilepaskan ke dalam air tawar. Walaupun sesetengah organisma boleh bertoleransi terhadap julat kepekatan garam tertentu, kebanyakan yang akan musnah apabila air tawar bertukar menjadi payau.

iii. Keasidan atau asiditi 

Mata air yang keluar daripada rekahan bukit-bikit arang batu mengandungi partikel-partikel bitumen dan sulphur. Air yang berasid ini meningkat dengan meningkatnya pengeluaran arang batu, dan berterusan lama walaupun lombong-lombong ditinggalkan. Besi pirit (hasil perlombongan batu arang) akan memasuki anak-anak sungai. Sesetengah bakteria boleh mendapat tenaga dengan menukarkan ferus kepada ferik untuk pernafasan dan pembiakan.

Hasil sampingan pertukaran keadaan pengoksidaan besi ini, iaitu mendakan ferik hidroksida yang berwarna kuning kemerahan mencemar tebing sungai; dan pelepasan asid sulfurik menukarkan keasidan air sungai itu dan menurunkan pH anak-anak sungai secara mendadak. pH boleh jadi di antara 4.5 ke 2.5 pada musim-musim tertentu. Sumbangan besi dan sulfat dalam kuantiti yang banyak juga mengurangkan keterdapatan oksigen dalam anak sungai.

Semua vertebrat,kebanyakan invertebrat dan banyak mikroorganisma terhapus. Kebanyakan tumbuhan peringkat tinggi tiada dan hanya beberapa jenis alga dan bakteria yang tinggal.

iv. Kekeruhan atau turbidity

Bahan-bahan lengai dan halus senang terampai dalam air. Ini mengurangkan pemancaran cahaya dan merencat proses fotosintesis tumbuhan akuatuk dan mikroskopik. Industri porselin ( tanah liat putih ) adalah sumber pencemaran ini. Industri besi keluli menghasilkan partikel halus juga menyebabkan sungai yang dimasuki efluen menjadi merah atau hitam.

Pencemaran Alam Sekitar - Kesan Dan Cara Mengatasi

v. Pendeoksigenan (Deoxygenation)

Pencemaran yang lazim adalah organik.walaupun bahan-bahan organik tidak meracuni hidupan sungai, atau mempengaruhi pH, tetapi apabila bahan organik diserang oleh bakteria dan dipecahkan menjadi kompaun yang ringkas, oksigen diperlukan. Keperluan oksigen biologi (BOD – Biological Oxygen Demand) menjadi tinggi. BOD adalah indeks pencemaran air yang berguna, terutama yang berkaitan dengan bebanan organik air. BOD digunakan untuk menentukan jenis hidupan yang boleh ditampung oleh sungai yang tercemar. Ikan mempunyai keperluan oksigen yang paling tinggi dan biasanya ikan air sejuk memerlukan lebih oksigen daripada ikan air panas.

Kesan-Kesan Pencemaran Alam Sekitar (Air)

Pencemaran air adalah salah satu penyebab penyakit kronik. Akibat meminum air yang tercemar, manusia akan dijangkiti penyakit menular, penyakit ginjal, artritis, sakit kepala,tekanan darah tinggi, penyakit kulit, kanser, gangguan sistem saraf, penyakit hati, jangkitan sistem penghadaman, penyakit batu karang, batu dalam hempedu dan sebagainya.

Lebih dari 70% tubuh manusia terdiri dari air. Selain Oksigen, air mempunyai peranan yang sangat penting dalam kehidupan kita. Air diperlukan oleh semua organ dalam tubuh agar dapat berfungsi dengan sempurna seperti :

  • i. Proses pembuangan racun / toxin
  • ii. Pelicin bagi sendi-sendi
  • iii. Membantu proses pencernaan
  • iv. Menstabilkan suhu tubuh
  • v. Metabolisma tubuh

i) Kesan Terhadap Kesihatan Manusia

Kesan-kesan daripada pencemaran air ini menimbulkan banyak masalah terhadap hidupan-hidupan di dunia pada masa kini termasuklah manusia sendiri. Bahan-bahan yang dibuang dalam sungai akan mengurangkan kandungan oksigen dalam air seterusnya hidupan akan mati apabila memakan bahan beracun dari sumber air yang telah tercemar ini. Manusia juga boleh mendapat penyakit atau masalah kesihatan yang teruk jika meminum atau menggunakan air yang tercemar. Selain itu, sampah-sarap dan najis yang dibuang ke dalam air juga menggalakkan bakteria untuk terus membiak dan menjadi masalah kepada kehidupan di dalam air mahupun kepada manusia sendiri.

ii) Kesan Kepada Kualiti Air

Penggunaan air laut juga terutamanya sebagai agen penyejuk bagi mesin dalam sektor janakuasa elektrik merosakkan kualiti air. Air yang panas selepas digunakan untuk menyejukkan mesin-mesin dalam sektor ini akan disalurkan semula ke laut. Ini menyebabkan seluruh kawasan saliran laut itu akan menjadi panas dan mengakibatkan hidupan di kawasan itu sukar untuk beradaptasi kerana keadaan suhu airnya yang tinggi dan meningkat secara mendadak justeru mengganggu ekosistem hidupan di laut secara perlahan-lahan.

iii) Mengurangkan Kandungan Oksigen Terlarut

Proses yang dihasilkan oleh industri terutamanya industri pemprosesan makanan biasanya kaya dengan nutrien inorganik contohnya nitrogen, fosforus dan kalium disamping sebatian-sebatian organik terlarut. Oleh itu, nutrien ini menyebabkan risiko pencemaran dilupuskan secara tidak langsung di dalam sungai atau tasik dan menghasilkan keadaan eutrofikasi. Sebatian organik terlarut mengurangkan jumlah kandungan oksigen terlarut (BOD).

iv) Sistem Air Bawah Tanah Tercemar

Sesetengah kilang akan memperuntukkan kawasan untuk pembuangan sisa-sisa kilang. Tetapi, apabila berlaku hujan lebat atau loji pecah, sisa-sisa iniakan terkeluar dan menyebabkan dua masalah iaitu, pertama ialah jika sisa ini mengalir di permukaan, maka ianya akan mengalir di dalam sistem saliran terutamanya parit dan sungai. Masalah kedua pula ialah sekiranya sisa ini mengalir ke dalam sisem bawah tanah yang akan menyebabkan sistem air bawah tanah tercemar. Kedua-dua masalah tersebut akan merosakkan dan mencemarkan hidupan dan keadaan air itu sendiri.

v) Menjejaskan Keindahan Alam

Seterusnya, pencemaran air juga menyebabkan keindahan dunia pada masa kini terjejas. Pantai-pantai yang dipenuh dengan sampah sarap menjengkelkan dan tidak indah untuk dipandang. Sampah sarap yang dibuang di laut menjadi punca hal tersebut berlaku. Keadaan air laut ataupun sungai yang berbau busuk akibat daripada bakteria-bakteria daripada bahan-bahan cemar yang dibuang ke dalam air laut atau sungai mewujudkan keadaan yang tidak selesa kepada manusia dan juga hidupan lain di dunia ini

vi) Banjir

Selain itu pencemaran air juga menjadi punca kepada banjir yang berlaku di dunia pada masa kini. Banjir-banjir yang kerap berlaku disebabkan oleh tersumbatnya parit yang sepatutnya mengalirkan air ke laut ataupun sungai.Apabila sampah sarap menyumbatkan aliran air tersebut, banjir mudah berlaku dan menyebabkan persekitaran kotor apabila banjir tersebut berlaku. Kesan langsung daripadanya adalah kemusnahan tapak pembiakan rantai makanan,dan juga mempengaruhi pembuatan makanan, produktiviti makanan, dan kos meningkat.

vii) Kemusnahan Hidupan Akuatik

Di Malaysia, aktiviti perindustrian, urbanisasi, serta perladangan menyebabkan pencemaran logam berat, racun makhluk perosak, pencemaran organik serta peningkatan keledak dalam air. Ia merupakan pencemaran utama yang memusnahkan kehidupan akuatik. Laluan utama pencemaran dari darat kelautan adalah melalui sungai.

Langkah Mengatasi Kesan Pencemaran Air

a) Penubuhan sebuah yayasan atau kelab pencinta sungai perlu dimulakan

Mengambilkira ramai pakar dan perunding dalam alam sekitar berminat memberi sumbangan secarasukarela. Tidak banyak usaha dilakukan oleh pihak berkuasa untuk mengembleng tenaga dan sumber yang ada untuk tujuan berkenaan.· Memberi pengetahuan yang mendalam kepada masyarakat tentang pemuliharaan dan pemulihan sungai.

b) Menggubal undang-undang yang melarang sesiapa daripada melakukan kegiatan yang boleh mencemarkan sungai

Terlalu banyak pencemaran yang berlaku di kawasan bandar, kawasan perumahan dan kawasan perindustrian. Aktiviti pengilangan mesti meningkatkan pemantauan untuk mencegah pencemaran sungai.Undang-undang yang berkaitan dengan pemuliharaan sungai harus diperketatkan untuk mengurangkan benda-benda asing yang mencemari sungai kita

c) Mewajibkan sistem pembentungan air buangan dan loji pelepasan bahan sisa-sisa bersepadu

Melalui sistem tersebut,air akan dirawat mengikut piawaian yang telah ditetapkan oleh jabatan alam sekitar sebelum disalurkan ke dalam sungai. Mengenakan hukuman penjara dan menanggung kos pembersihan dan pemuliharaan sungai tersebut. Mengadakan langkah bersepadu untuk membanteras aktiviti yang mencemarkan sungai.

d) Melalui program pendidikan ,latihan dan maklumat pencemaran alam sekitar

Bertujuan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat sama ada golongan pengilang ataupun pengguna supaya mereka sentiasa sedar akan tanggungjawab masing-masing dalam masyarakat.· Setiap aktiviti yang dilakukan oleh individu akan memberi kesan yang menyeluruh terhadap diri sendiri dan masyarakat.·Menerapkan ilmu yang telah dipelajari semasa program untuk dilaksanakan dalam kehidupan seharian

3) Pencemaran Tanah/ Tanih

Pencemaran tanah dapat ditakrifkan sebagai perbuatan yang berlaku kepada sesuatu kawasan sehingga terjadi pertukaran warna, kesuburan, dan hakisan. Ia disebabkan oleh bahan buangan dalam bentuk cecair atau pepejal yang terdiri daripada pencemar organik, kimia atau fizikal. Keseriusan pencemaran tanah bergantung kepada kesuburan tanah. Semakin kurang kesuburan tanah, semakin serius pencemaran yang berlaku.

Punca Pencemaran Tanah

Antara punca pencemaran tanah adalah seperti berikut:

i. Pembuangan sampah yang tidak terkawal

Pembuangan sampah secara sesuka hati dan tidak memenuhi syarat, (illegal dumping) merupakan antara punca yang mengakibatkan masalah pencemaran tanah. Apabila masyarakat membuang sampah ke atas tanah, tanah tersebut akan menjadi habitat bagi pelbagai mikroorganisma yang terdiri daripada bakteria dan virus yang menyebabkan pelbagai jenis penyakit.

Kualiti air tanah pula akan berkurang disebabkan bahan cemar dari sampah. Penurunan kualiti air tanah dapat diperhati melalui perubahan fizikal seperti bau, warna, rasa dan kemunculan lapisan minyak. PVC (polyvinyl chloride) yang lebih dikenali sebagai plastik dan logam sulit merupakan dua contoh sampah yang dapat mempengaruhi kemampuan tanah menyerap air. Tambahan pula plastik adalah hasil ciptaan manusia yang tidak melalui proses biodegradasi. Ia tidak akan terurai secara semulajadi walaupun selepas berjuta-juta tahun.

ii. Pembuangan sisa toksik dan nuklear

Antara bahan buangan yang dihasilkan daripada kilang-kilang termasuklah minyak, sisa toksik dan sisa-sisa kilang. Pencemaran tetap akan berlaku walaupun bahan buangan tersebut ditanam di dalam tanah. Hal ini disebabkan oleh logam berat iaitu litium, berilium, merkuri dan sebagainya.

Selain itu, hidrokarbon petrolium, sianida dan arsenic, bahan partikel seperti PVC dan polimer turut menjurus kepada pencemaran tanah dan air bawah tanah. Partikel- partikel berbahaya akan meresap masuk ke dalam tanah sekiranya bercampur dengan air seperti air hujan. Sekiranya tindak balas kimia berlaku, ia akan menyebabkan keadaan menjadi lebih teruk.

iii. Kegiatan Perlombongan

Kegiatan perlombongan berskala kecil juga boleh menyebabkan masalah pemendapan yang teruk di bahagian hilir lalu menyebabkan saliran lombong berasid. Kegiatan perlombongan seperti emas, perlombongan pasir dan penebus-guna tanah serta pembangunan-pembangunan lain di sepanjang pantai meningkatkan ancaman terhadap ekologi hidupan akuatik.

Air masih berada dalam kategori tercemar sekiranya pH air tidak berada pada paras neutral, iaitu pada pH-7. Keseimbangan ekosistem akan terancam sekiranya habitat kehidupan akuatik sudah dicemari oleh sisa-sisa dan lapisan minyak. Hal ini akan menyebabkan kekurangan sumber protein seperti ikan.

iv. Pembalakan

Aktiviti pembalakan yang tidak terancang juga dapat menyebabkan pencemaran tanah. Kawasan hutan sering ditebang untuk memperoleh hasil balak dan kayu yang dapat membawa keuntungan. Namun begitu, sekiranya aktivit penebangan hutan ini tidak diatur dengan rapi, ia akan menyebabkan struktur tanah menjadi longgar. Hal ini disebabkan oleh ketiadaan akar pokok untuk mencengkam tanah. Kesannya, tanah runtuh akan berlaku dan nyawa haiwan serta penduduk yang tinggal berhampiran dengan kawasan itu akan terancam.

Kesan-Kesan Pencemaran Tanah

Pencemaran tanah dapat mengakibatkan kesan-kesan buruk seperti:

i. Penyebaran kuman dan penyakit

Salah satu kesan yang akan berlaku hasil daripada pencemaran tanah adalah penyebaran kuman dan penyakit. Haiwan-haiwan perosak seperti tikus, lipas dan lalat akan berkerumun di kawasan tanah yang tercemar seterusnya menyebarkan kuman dan penyakit ke tempat lain. Sekiranya makanan yang dihinggapi lalat atau dimakan lipas seterusnya dimakan oleh manusia tanpa sengaja, maka manusia akan mudah diserang keracunan makanan. Hal ini dapat mengakibatkan individu tersebut diserang penyakit yang serius.

ii. Kualiti tanah merudum 

Antara kesan lain yang akan timbul apabila terjadinya pencemaran tanah adalah penurunan kualiti tanah atau kerosakan tanah. Sisa-sisa industri dan hasil tumpahan daripada kilang atau kenderaan motor akan menjadikan tanah rosak dan kualitinya merudum. Tanah yang rendah kualiti menyebabkan tumbuh-tumbuhan atau sayur-sayuran yang ditanam tidak dapat hidup dengan baik dan menjadi kurang subur.

iii. Berlaku hakisan tanah 

Hakisan tanah merupakan suatu kejadian yang sering berlaku di seluruh negara. Antara aktiviti manusia yang dapat mengakibatkan hakisan tanah adalah penggondolan bukit dan pembalakan yang menyebabkan tiada akar tumbuhan yang dapat mencengkam tanah daripada runtuh. Kesan daripada hakisan tanah seperti bencana tanah runtuh bukan sahaja merugikan dari sudut kewangan dan ekonomi malah ia juga mengancam keselamatan dan nyawa masyarakat.

Langkah-Langkah Mengatasi Pencemaran Alam Sekitar (Tanah/ Tanih)

Bagi mengurangkan berlakunya pencemaran tanah, langkah-langkah seperti berikut perlu diambil:

i. Pendidikan alam sekitar

Pendidikan alam sekitar merupakan salah satu kaedah yang dapat dilaksanakan untuk mengatasi masalah pencemaran tanah. Ia dapat membentuk sikap positif dalam diri dan menjadikan seseorang itu lebih memahami perihal pencemaran alam sekitar. Dengan adanya ilmu pengetahuan yang mendalam tentang pencemaran termasuk punca dan akibat hasil pencemaran yang berlaku seperti pencemaran tanah, seseorang individu akan lebih menghargai alam sekitar.

ii. Kempen Kesedaran

Kempen kesedaran merupakan salah satu inisiatif yang dapat diambil bagi mengurangkan masalah pencemaran alam sekitar. Antara kempen-kempen alam sekitar yang boleh dilaksanakan adalah kempen Cintailah Sungai Kita, Kitar Semula, dan Sahabat Alam. Dalam kempen ini peserta akan diajar tentang kepentingan menjaga alam sekitar dan sebagainya.

iii. Peranan Media Massa

Media massa memainkan peranan penting dalam menangani isu pencemaran tanah. Umum mengetahui bahawa pada era serba moden ini, media masa mudah untuk mempengaruhi dan membentuk cara pemikiran pengguna. Dengan itu, pendedahan dan penyebaran tentang isu pencemaran alam oleh media massa kepada masyarakat umum akan menyebabkan mereka lebih berhati-hati dalam menangani masalah pencemaran.

4) Pencemaran Bunyi

Pencemaran bunyi boleh didefinisikan sebagai bunyi bising yang keterlaluan yang boleh memekakkan telinga individu yang mendengarnya. Pencemaran bunyi biasanya berlaku apabila bunyi melebihi 80 desibel (dB). Kategori pencemaran boleh berpunca daripada manusia seperti jeritan dan bunyi kenderaan atau pencemaran bunyi semulajadi seperti bunyi guruh.

Punca Pencemaran Bunyi

i. Perindustrian

Kebanyakan bunyi yang dikeluarkan daripada kerja kilang seperti jentera, mesin kilang serta pemprosesan dan pembuatan material boleh menggangu ketenteraman masyarakat setempat yang tinggal berhampiran dengan kilang tersebut.

ii. Kenderaan

Bunyi deruman enjin kenderaan di jalan raya serta bunyi hon yang tiada henti boleh memekakkan pendengaran dan mengakibatkan stres terutamanya di jalanraya yang sesak. Hal ini bertambah teruk dengan kewujudan kereta dan motosikal yang enjinnya telah diubahsuai supaya menjadi lebih bising dan mengganggu ketenteraman.

Selain kenderaan di jalan raya, kenderaan seperti jet juga dapat menyebabkan pencemaran bunyi. Jet memerlukan enjin yang berkuasa tinggi untuk terbang di udara yang secara tidak langsung menghasilkan bunyi yang kuat.

iii. Kawasan binaan dan Kuari

Kerja-kerja pembangunan yang melibatkan kren, gerudi, cerucuk besi dan lain-lain dapat merosakkan suasana aman di sesuatu kawasan. Tambahan lagi jika ia merupakan kawasan kuari, bunyi kuat akan terhasil daripada bahan letupan yang digunakan untuk memecahkan bongkah-bongkah batu yang besar.

iv. Aktiviti/Tabiat manusia

Antara punca utama masalah pencemaran bunyi adalah sikap masyarakat. Sesetengah orang suka memasang radio, televisyen dan alat hiburan seperti karaoke dengan sangat kuat sehingga mengganggu ketenangan kawasan persekitaran. Ada juga segelintir masyarakat yang bercakap atau berbual dengan nada yang agak tinggi di khalayak ramai tanpa segan silu dan prihatin terhadap orang sekeliling.

Kesan-Kesan Pencemaran Bunyi

Pencemaran bunyi yang tidak dibendung dapat mengakibatkan kesan-kesan seperti di bawah:

i. Kesan kepada kesihatan manusia

Apabila organ telinga menerima kesan daripada bunyi yang kuat, kemungkinan besar pendengar akan mengalami masalah pendengaran terutamanya kanak-kanak yang mempunyai organ yang masih nipis dan lembut. Selain daripada itu, pencemaran bunyi dapat mengakibatkan seseorang itu menjadi rimas dan mengalami isu seperti takanan, gangguan tidur dan hipertensi. Akibatnya pendengar mudah merasa letih dan kesihatan tubuh badan merudum apabila berhadapan dengan masalah pencemaran bunyi yang agak lama.

ii. Kesan terhadap persekitaran

Seperti yang kita tahu, persekitaran yang bising boleh menjadikan seseorang itu terganggu dan cuba mengelak daripada tinggal di kawasan tersebut. Disebabkan itu, sesetengah orang yang berusia tidak gemar tinggal di ibu kota yang sibuk dengan persekitaran yang sangat bising berbanding keadaan kampung yang agak tenang. Persekitaran yang bising menjadikan urusan kehidupan seharian lebih rumit. Ia mengganggu minda daripada fokus dan berfikir dengan tenang serta menyukarkan komunikasi antara satu sama lain.

Bunyi bising dapat memberi kesan buruk terhadap haiwan. Ia menyebabkan tekanan dan meningkatkan risiko kematian dengan mengubah sensitiviti terhadap daya mengesan dan mengelak pemangsa/mangsa serta menganggu penggunaan bunyi mereka sebagai alat komunikasi terutamanya yang berkait dengan pembiakan dan navigasi. Dedahan lampau akustik boleh mendorong kepada kehilangan pendengaran sementara atau kekal.

Langkah-Langkah Mengatasi Pencemaran Bunyi

Antara langkah yang boleh diambil untuk mengatasi pencemaran bunyi adalah seperti berikut:

i. Kawalan oleh manusia

Pengurangan pencemaran bunyi dapat diusahakan oleh setiap individu kerana lapan puluh peratus daripada punca pencemaran bunyi ini datangnya daripada manusia sendiri. Sebagai contoh, pengeluar kenderaan perlulah mengambil inisiatif untuk menghasilkan kenderaan yang mempunyai enjin yang lebih senyap dan mesra alam. Masyarakat juga perlulah memainkan peranan dengan cara mengawal bunyi atau suara terutama jika berada di kawasan yang dihuni oleh ramai orang supaya tidak mengganggu orang lain.

ii. Penguatkuasaan undang-undang

Penguatkuasaan undang-undang oleh pihak Kerajaan terhadap sesiapa sahaja yang menyumbang ke arah pencemaran bunyi dapat membantu membendung fenomena ini daripada terus berleluasa. Sebagai contoh, kontraktor binaan dilarang untuk melakukan aktiviti binaan pada waktu-watu tertentu terutamanya waktu malam. Hal ini kerana waktu malam adalah waktu untuk berehat bagi masyarakat untuk menempuhi hari esok. Sekiranya terganggu, ia akan mempengaruhi produktiviti dan kesihatan tubuh badan.

5) Pencemaran Sisa Pepejal

Sisa pepejal boleh ditakrifkan sebagai hasil buangan daripada aktiviti sosioekonomi manusia yang memiliki sifat kotor dan tidak dianggap berguna. Ia merupakan suatu bahan atau sumber yang tidak lagi digunakan kerana sudah tiada nilai ekonomi sebelum ia melalui proses akhir.

Pencemaran sisa pepejal adalah antara masalah utama yang dihadapi oleh kebanyakan bandar di negara membangun kerana kesukaran untuk menguruskannya.

Punca-Punca Pencemaran Sisa Pepejal

Antara sebab berlakunya masalah dalam pengurusan sisa pepejal atau pencemaran sisa pepejal adalah seperti berikut:

i. Proses urbanisasi dan perindustrian yang pesat

Apabila suatu proses urbanisasi itu berlaku, jumlah penduduk yang menghuni sesuatu tempat juga bertambah. Penambahan populasi penduduk dan digabungkan dengan pertumbuhan besar penduduk di kawasan bandar telah meningkatkan penghasilan sisa pepejal dan perubahan dalam komposisi sisa.

ii. Sikap masyarakat

Gaya hidup masyarakat yang kurang mesra alam juga menyumbang kepada faktor pencemaran sisa pepejal. Kebanyakan masyarakat kurang peka dan prihatin terhadap isu pencemaran. Mereka sudah terbiasa dengan sikap dan tabiat tidak endah dalam pembuangan sampah merata-rata dan amalan kitar semula. Tambahan lagi, majoriti masyarakat kurang pengetahuan tentang pengurusan sisa pepejal.

iii. Kekangan Sumber Kewangan

Faktor kos sangat memainkan peranan penting dalam menghasilkan pengurusan sisa pepejal yang baik. Kualiti perkhidmatan yang disediakan kepada masyarakat sukar untuk ditingkatkan apabila mengalami keterbatasan modal, tenaga kerja, operasi dan kenderaan serta kekurangan peralatan.

Kos yang tinggi diperlukan untuk kutipan, pengumpulan, hingga ke pengangkutan sampah ke tapak pelupusan. Kutipan dan pengangkutan sisa pepejal merangkumi kira-kira 60% jumlah peruntukan kewangan yang dibelanjakan bagi menguruskan sisa pepejal.

Kesan-Kesan Pencemaran Alam Sekitar – Sisa Pepejal

Kegagalan pengurusan sisa pepejal dengan baik boleh mengakibatkan pencemaran sisa pepejal serta kesan-kesan lain. Antaranya:

i. Pencemaran

Longgokan dan sisa pepejal yang tidak terurus di tapak pelupusan akan menghasilkan air lelehan. Air lelehan ini akan mengalir ke sungai yang berhampiran khususnya melalui air bawah tanah. Ia mengandungi pelbagai bahan pencemar logam berat seperti Cd, Cr, Cu, Pb, Mg, Zn dan Fe. Akibatnya, sumber air akan tercemar.

Di samping itu, lebihan sisa pepejal kebiasaannya terpaksa dibakar di kawasan perumahan. Hasil dari pembakaran terbuka itu akan menyebabkan pencemaran udara. Ia juga akan menghasilkan kesan toksik yang akhirnya mengakibatkan kawasan hijau di sekelilingnya mati dan layu.

ii. Banjir

Sistem saliran seperti longkang yang dipenuhi dengan sampah-sarap serta perangkap sampah yang tidak diselenggara menyekat aliran air dan menyebabkan air bertakung. Hal ini akan membawa kepada fenomena banjir.

iii. Kesan terhadap kesihatan

Pencemaran sisa pepejal akan menyebabkan penyebaran penyakit. Sisa pepejal yang tidak terurus menarik perhatian vektor pembawa penyakit seperti haiwan dan serangga. Ia menjadi tempat atau kawasan pembiakan serangga dan haiwan pembawa penyakit ini seperti nyamuk aedes, tikus dan lipas. Akibatnya, penyakit dan virus seperti denggi, leptospirosis, salmonella dan poliomyelitis boleh tersebar.

Langkah-Langkah Mengatasi Pencemaran Sisa Pepejal

Antara cara untuk mengatasi masalah pengurusan dan pencemaran sisa pepejal adalah:

i. Penguatkuasaan undang-undang

Undang-undang perlu dikuatkuasakan dalam menangani hal ini agar pengurusan sisa dapat dikendalikan dengan lebih baik. Sebagai contoh Akta Kualiti Alam Sekitar 1974, Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1977.

ii. Pengawalan operasi 

Operasi pengurusan sisa pepejal juga haruslah ditambahbaik. Antara caranya adalah dengan menggunakan kaedah penimbusan yang lebih murah berbanding pembakaran tanpa pencemaran. Selain itu, pihak bertanggungjawab boleh menyediakan pelapik yang memisahkan bahan pencemar dalam sisa pepejal daripada tanah di tapak penimbusan sisa.

Incinerator yang digunakan untuk pembakaran sisa pepejal menggunakan diesel juga boleh dibina untuk mengurangkan jumlah sisa pepejal dari dibuang ke tapak pelupusan sehingga 80 hingga 90 peratus. Di samping itu, pembinaan kolam dan longkang di sekeliling tapak pelupusan sampah boleh mengalirkan air lelehan ke dalam kolam air lelehan yang dibina.

iii. Pengawalan bukan perundangan

Pihak kerajaan membina pusat kitar semula di seluruh negara agar masyarakat dapat mengumpulkan bahan buangan yang boleh dikitar dan mengurangkan pembuangan sisa pepejal. Penyebaran maklumat dan pendidikan berkaitan alam sekitar dapat meningkatkan rasa cinta terhadap pencemaran

Related : pulau pinang, jabatan alam sekitar jas, lembah klang, tumpahan minyak, bekalan air, perintah kawalan pergerakan pkp, berhadapan dengan pelbagai, baru baru, pasir gudang, akta kualiti alam sekeliling 1974,

Tinggalkan Komen

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *