Konsep Dan Takrifan Sistem Pengangkutan Di Malaysia (Definisi). Definasi, maksud dan pengertian pengangkutan yang bermaksud sistem kenderaan bermotor seperti teksi, bas dan kereta api di sesuatu kawasan.

Konsep Dan Takrifan Sistem Pengangkutan Di Malaysia

Perhatian buat seluruh pelajar tingkatan 3 yang bakal menduduki peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) pada tahun ini. Mata pelajaran Geografi iaitu salah satu subjek peperiksaan yang mempunyai pelbagai instumen. Dalam subjek ini, kajian lapangan atau kerja kursus merupakan satu tugasan yang diwajibkan bagi setiap pelajar selain Sejarah. Berikut adalah Konsep Dan Takrifan Sistem Pengangkutan di Malaysia yang boleh dijadikan sebagai panduan untuk menyiapkan tugasan kerja kursus Geografi PT3.

Seperti yang diketahui, kerja kursus geografi ini mewakili 20% daripada jumlah kesuluruhan subjek berbaki 80% bagi ujian bertulis. Ini bermakna sekiranya pelajar ingin mendapatkan skor A dalam subjek ini maka perlunya untuk mendapat keputusan yang baik dalam kerja kursus ini. Soalan yang diberikan masih dalam silibus pengajian yang telah dipelajari justeru memudahkan para pelajar untuk menjawab dengan mudah dan betul

Konsep Dan Takrifan Sistem Pengangkutan Malaysia

Konsep Dan Takrifan Sistem Pengangkutan Di Malaysia (Maksud Dan Pengertian)

Konsep adalah suatu hal pada umumnya memberikan penjelasan kepada sesebuah peristiwa atau objek. Takrifan pula adalah kenyataan yang ringkas dan padat bagi menjelaskan konsep atau makna sesuatu kata, frasa dan lain-lain. Berikut adalah konsep dan takrifan bagi sistem pengangkutan.

Konsep Dan Takrifan Sistem Pengangkutan

Berikut adalah Konsep Dan Takrifan Sistem Pengangkutan buat rujukan pelajar. Pengangkutan atau turut dikenali sebagai transport merupakan teknologi yang dicipta bagi memindahkan sesuatu objek daripada suatu tempat ke tempat yang lain. Seseorang boleh bergerak ke suatu tempat lain tanpa memerlukan pengangkutan dengan berjalan ataupun berenang. Namun begitu, tahap ketersampaian sesorang adalah terhad atau terbatas dan memerlukan sokongan luaran. Jika dilihat pada zaman dahulu, haiwan seperti kuda, unta, keldai dan sebagainya menjadi tunggangan atau pengangkutan bagi manusia mahupun bagi menggerakkan barang.

Peredaran zaman telah mejadikan pengangkutan juga berubah kepada lebih moden seperti menggunakan perahu di sungai atau laut dan kenderaan bermotor seperti kereta di darat serta pesawat atau kapal terbang di udara. Justeru, pengangkutan boleh dikategorikan kepada beberapa bahagian iaitu pengangkutan darat, pengangkutan air, dan pengangkutan udara.

Sistem pengangkutan pula adalah jaringan pengangkutan yang disediakan di sesebuah kawasan. Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, sistem pengangkutan adalah sistem kenderaan bermotor seperti kereta api, bas, dan teksi sesuatu kawasan. Sesebuah kawasan boleh menyediakan lebih daripada satu bahagian pengangkutan seperti pengangkutan darat iaitu kereta api, lori, bas, kereta dan motor, pengangkutan air seperti kapal laut pelabuhan, feri pelancongan, serta pengangkutan udara seperi kapal terbang komersial dan kargo.

Sistem Pengangkutan Di Malaysia

Sistem pengangkutan yang wujud di sesebuah negara adalah seiring dengan kepesatan dan kemajuan ekonomi negara tersebut. Dalam setiap urusan, kita tidak boleh lari daripada menggunakan pengangkutan baik dari segi transportasi diri atau manusia mahupun barang atau objek lain. Ianya adalah nadi yang menggerakkan aktiviti dan membantu merancakkan lagi pembangunan ekonomi negara.

Jaringan atau sistem pengangkutan di Malaysia turut berkembang selari dengan perkembangan ekonomi. Sebagai contoh antara yang terawal wujud dahulu adalah kapal pelabuhan di mana ramai pedagang telah berlabuh di Selat Melaka dengan melakukan aktiviti perdagangan. Selepas itu wujud pula sistem kereta api bagi memindahkan bijih timah daripada kawasan lombong ke kawasan bandar.

Sehingga kini, perkembangan sistem pengangkutan di Malaysia menunjukkan wujudnya setiap bahagian pengangkutan iaitu pengangkutan darat, pengangkutan air dan pengangkutan udara. Berikut adalah penjelasan lanjut bagi setiap bahagian pengangkutan.

A. Pengangkutan Darat

Pengangkutan darat di Malaysia adalah antara pengangkutan utama masyarakat terutama sekali di bahagian Semenanjung Malaysia. Ianya berikutan kewujudan jaringan jalan raya atau lebuh raya yang meluas, maju dan cekap di kawasan tersebut. Jaringan jalan raya lebih tertumpu ke pantai barat berbanding pantai timur di Semenanjung Malaysia.

Lebuh raya pula telah dibina bagi mempercepatkan dan memudahkan perjalanan dari sebuah bandar atau negeri ke sebuah bandar atau negeri lain. Sebagai contoh Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) yang merupakan lebuh raya terpanjang iaitu 847.7 kilometer menganjur dari Bukit Kayu Hitam, Kedah ke Johor Bahru, Johor. Antara pengangkutan yang menggunakan jalan raya dan lebuh raya termasuklah kereta persendirian, motosikal, van persiaran, dan bas pelancongan.

Selain itu, Malaysia juga turut dilengkapi dengan jaringan pengangkutan landasan kereta api. Ianya bermula sejak tahun 1885 di mana landasan kereta api yang pertama dibina dari Taiping ke Port Weld bagi mengangkut bijih timah. Kini, landasan kereta api utama di Semenanjung Malaysia menganjur dari Padang Besar, Perlis ke Johor Bahru, Johor manakala landasan kereta api pantai timur bermula dari Tumpat, Kelantan ke Gemas, Negeri Sembilan.

B. Pengangkutan Air

Pengangkutan air di Malaysia juga merupakan bahagian pengangkutan yang terawal wujud dalam sejarah penubuhan negara. Dahulunya pedagang daripada Barat dan Timur hadir ke Pelabuhan Selat Melaka untuk berdagang. Ianya sekaligus telah menyumbang kepada ekonomi setempat dan terbangunnya Kota Melaka yang pada ketika itu merupakan antara pusat pemerintahan terkenal.

Kini, pengangkutan air di Malaysia masih melibatkan perdagangan di pelabuhan utama seperti Pelabuhan Klang, Selangor, Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor, Pelabuhan Pulau Pinang, Pelabuhan Kuantan, Pahang, Pelabuhan Kuching, Sarawak dan Pelabuhan Teluk Sepanggar, Sabah. Pelabuhan-pelabuhan tersebut mempunyai jaringan dengan kaedah pengangkutan lain bagi memudahkan transportasi barang.

C. Pengangkutan Udara

Malaysia juga mempunyai rangkaian pengangkutan udara yang maju meliputi hampir seluruh kawasan dalam negara. Merupakan salah satu pintu utama kemasukan pelancong dan warga asing ke Malaysia, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) menyediakan penerbangan antarabangsa dan juga domestik bagi penumpang serta perkhidmatan kargo iaitu menggerakkan barang menggunakan pengangkutan udara.

Dalam pada itu, negeri-negeri lain juga turut mempunyai lapangan terbang bertaraf antarabangsa seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Kedah, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Lapangan Antarabangsa Senai, Johor, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Sabah, dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Sarawak. Terdapat juga lapangan terbang domestik bagi negeri-negeri lain seperti Melaka, Terengganu, Kelantan dan Pahang.

Pengangkutan Awam Di Malaysia

Malaysia mempunyai visi sebagai negara maju mejelang tahun 2020. Selaras dengan itu, adalah menjadi budaya di sebuah negara maju untuk menggunakan pengangkutan awam bagi mengelakkan kesesakan sekaligus menunjukkan kecekapan sistem pengangkutan awam yang disediakan pihak kerajaan. Konsep Dan Takrifan Sistem Pengangkutan.

Definisi Pengangkutan Awam

Pengangkutan awam adalah merangkumi semua sistem pengangkutan yang digunakan oleh penumpang yang tidak bergerak menggunakan kenderaan mereka sendiri dengan perlu membayar kadar tambang tertentu yang telah ditetapkan. Ianya disediakan oleh pihak awam untuk digunakan oleh orang ramai serta menawarkan perkhidmatan berjadual dalam laluan tetap tanpa tempahan dan perlu berkongsi kecuali teksi.

Jaringan Pengangkutan Awam Di Malaysia

Malaysia telah menyediakan jaringan pengangkutan awam yang efisien khususnya di kawasan bandar dan tidak dilupakan di kawasan luar bandar. Pengangkutan awam juga disediakan bagi ketiga-tiga bahagian iaitu pengangkutan darat, pengangkutan air, dan pengangkutan udara.

Pengangkutan awam darat di Malaysia terdiri daripada jalan raya dan jalan kereta api. Di jalan raya, antara pengangkutan yang disediakan adalah perkhidmatan bas awam berbayar dan percuma, teksi berbayar serta perkhidmatan e-hailing. Bagi jalan kereta api pula adalah rel bersepadu seperti Monorel, KTM Komuter, KTM Antarabandar, Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT), KLIA Ekspress / KLIA Transit (ERL), dan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS).

Selain itu, terdapat juga pengangkutan awam air di beberapa bandar yang terletak di persisiran laut seperti di Pulau Pinang. Pengangkutan tersebut adalah feri yang boleh memuatkan penumpang dan juga kenderaan seperti kereta dan motosikal yang menghubungkan Seberang Prai dengan Pulau Pinang. Selain itu terdapat juga perkhidmatan bot ekspres seperti di Kuching, Sarawak.

Akhir sekali, pengangkutan awam yang terdapat di Malaysia termasuklah perkhidmatan udara iaitu kapal terbang komersial. Perkhidmatan ini bukan sahaja dapat menghubungkan penumpang di dalam negara malah antarabangsa atau luar negara. Ini jelas menunjukkan bahawa pengangkutan awam di Malaysia meliputi semua bahagian justeru selari dengan wawasan negara untuk menjadi negara maju menjelang 2020.

Faktor Pengaruhi Sistem Pengangkutan Di Malaysia

Kewujudan sistem pengangkutan di Malaysia dipengaruhi oleh beberapa faktor seperti berikut: Konsep Dan Takrifan Sistem Pengangkutan

  1. BENTUK MUKA BUMI
    • Tanah pamah : Keadaan tanah ini adalah rata justeru sesuai untuk membina jaringan pengangkutan
    • Tanah tinggi : Keadaan tanah ini menyukarkan pembinaan jaringan pengangkutan serta menelan kos yang tinggi
  2.  KEMAJUAN TEKNOLOGI
    • Penggunaan teknologi yang maju membolehkan pembinaan Jambatan Pulau Pinang
    • Teknologi moden juga membolehkan terowong bawah tanah seperti SMART serta projek rel laluan bawah tanah MRT mampu dilakukan
  3. DASAR KERAJAAN
    • Salah satu Bidang Keberhasian Utama Negara (NKRA) bertujuan untuk menambah baik pengangkutan awam di bandar
    • Dasar Penswastaan seperti pembinaan Lebuhraya Utara-Selatan oleh PLUS Berhad serta perkhidmatan LRT dan bas oleh Prasarana Malaysia Berhad bagi meningkatkan mutu pengangkutan di Malaysia
  4. KEGIATAN EKONOMI
    • Jaringan pengangkutan pesat dibangunkan di kawasan kegiatan ekonomi tertumpu seperti perniagaan, perdagangan, pendidikan dan sebagainya seperti di bandar Kuala Lumpur.
    • Dahulu, pengangkutan juga dibina di kawasan terdapat sumber mineral seperti bijih timah di taiping untuk dihantar ke pusat perdagangan

Kepentingan Sistem Pengangkutan di Malaysia

Terdapat banyak kepentingan atau kelebihan bagi sistem pengangkutan untuk dijalankan di Malaysia antarnya adalah seperti berikut:

1. Pengangkutan darat

  • Membawa penumpang dan barangan
  • Mempertingkatkan darjah ketersampaian
  • Membangunkan wilayah koridor ekonomi
  • Membangunkan bandar satelit
  • Membangunkan kawasan sekitar
  • Meningkatkan sektor perniagaan

2. Pengangkutan udara

  • Meningkatkan darjah ketersampaian penumpang dan barang
  • Menggalakkan integrasi nasional

3. Pengangkutan air

  • Mengendalikan urusan perdagangan
  • Membawa penumpang dan barangan
  • Menghubungkan kawasan pedalaman

Kepentingan Pengangkutan Awam

Berikut adalah beberapa kepentingan pengangkutan awam di Malaysia:

  1. Memajukan industri pelancongan
  2. Mengelakkan atau mengurangkan kesesakan lalu lintas
  3. Meningkatkan darjah ketersampaian
  4. Mewujudkan peluang pekerjaan
  5. Menjimatkan kos
  6. Mengurangkan pencemaran udara

Semoga perkongsian mengenai konsep dan takrifan sistem pengangkutan di Malaysia ini dapat membantu memudahkan pelajar tingkatan 3 untuk membuat rujukan. Diharapkan agar panduan ini dapat membantu calon PT3 dalam menyiapakan tugasan kerja lapangan Geografi sekaligus mendapat keputusan yang cemerlang

Tinggalkan Komen

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *