Perbezaan CTOS Dan CCRIS - Laporan Kredit. Apakan perbezaan di antara CCRIS vs CTOS di mana kedua-dua laporan ipenting dalam memohon pinjaman dan pengurusan kewangan.

Perbezaan CTOS Dan CCRIS – Laporan Kredit

Perhatian buat seluruh rakyat Malaysia, adakah anda tahu perbezaan antara Credit Tip-Off Service (CTOS) dan Central Credit Reference Information System (CCRIS)? Umum mungkin mengetahui bahawa CTOS dan CCRIS adalah laporan kredit tetapi segelintir sahaja yang mengetahui bahawa dua perkara ini adalah berbeza walaupun sering dikaitkan sekali. Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan CTOS dan CCRIS ini? Berikut adalah penerangan lanjut mengenai perbezaan CTOS dan CCRIS yang perlu anda tahu.

Seperti yang dimaklumkan, CTOS dan CCRIS adalah laporan kredit mengenai pengurusan kewangan seseorang individu atau sesebuah syarikat. Ianya penting kerana laporan ini melibatkan kelulusan untuk membuat pinjaman seterusnya daripada mana-mana institusi kewangan. Jika rekod laporan kredit adalah baik maka permohonan pinjaman mudah untuk diuruskan manakala jika rekod adalah tidak baik maka permohonan pinjaman seterusnya adalah sebaliknya

Perbezaan CTOS Dan CCRISPerbezaan CTOS Dan CCRIS – Laporan Kredit Penting Dalam Membuat Pinjaman

Bagi mengelakkan kekeliruan, berikut dijelaskan lebih lanjut mengenai perbezaan antara CTOS dan CCRIS dalam bentuk jadual bagi memudahkan orang ramai. Sebelum itu fahami dahulu apa itu yang dimaksudkan dengan CTOS dan CCRIS melalui definisi yang diterangkan di bawah.

Definisi CTOS

Credit Tip-Off Service (CTOS) adalah sebuah syarikat swasta yang bertangungjawab menyediakan laporan kredit yang digunakan secara meluas oleh majoriti institusi sistem kewangan negara, syarikat perniagaan dan perdagangan, firma undang-undang dan sebagainya. Institusi kewangan lazimnya akan menggunakan lebih dari satu jenis laporan kredit bagi melihat gambaran sebenar keadaan kredit seseorang individu.

CTOS akan mengumpul maklumat mengenai individu atau syarikat daripada pelbagai sumber yang boleh didapati dalam domain awam. Maklumat-maklumat ini kemudiannya dimasukkan dalam sebuah pengkalan data elektronik yang seterusnya membolehkan proses memeriksa dapat dilakukan dengan mudah dan berkesan. Ini akan membantu dalam membuat keputusan terhadap permohonan pinjaman dan kredit perdagangan dan perniagaan oleh pemberi kredit dan pemberi pinjaman.

Antara sumber-sumber maklumat CTOS adalah seperti berikut:

  1. Jabatan Pendaftaran Negara
  2. Jabatan Insolvensi Malaysia
  3. Suruhanjaya Syarikat Malaysia
  4. Pendaftar Pertubuhan
  5. Notis undang-undang dalam akhbar
  6. Warta dan Penerbitan Kerajaan
  7. Maklumat sukarela yang diberikan oleh subjek sendiri
  8. Maklumat hubungan yang disediakan oleh pemiutang / litigators / penyokong perdagangan

Definisi CCRIS

Central Credit Reference Information System (CCRIS) pula boleh didefiniskan sebagai Pusat Sistem Maklumat Rujukan Kredit. Sistem ini telah dibangunkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) yang menggabungkan maklumat kredit tentang seseorang individu yang pernah atau bakal membuat pinjaman di dalam sebuah laporan kredit yang seragam.

Setiap institusi kewangan dan juga syarikat berkaitan lazimnya sudah diintegrasikan dengan sistem CCRIS. Ini bermaksud maklumat akan dimasukkan secara automatik sebaik sahaja individu membuat pinjaman di mana-mana institusi kewangan. Maka amalan kredit setiap individu dapat dilihat dalam sistem berpusat ini.

Antara sumber-sumber perolehan maklumat kredit oleh CCRIS adalah:

  • Institusi Perbankan
  • Broker Insurans
  • Syarikat Swasta (Servis Utiliti seperti Telekomunikasi)

Maklumat dan data yang terkumpul akan disimpan selama 12 bulan sahaja, selepas itu rekod pembayaran balik yang tertua akan dihapuskan. Antara jenis maklumat yang terdapat dalam laporan CCRIS pula adalah:

  1. Pinjaman terkumpul
    • Pinjaman peribadi, pinjaman perumahan, kad kredit, sewa beli, overdraft dan sebagainya
    • Maklumat yang dipaparkan termasuklah jumlah baki, had, kelakuan pembayaran dan status undang-undang (saman atau status muflis) sekiranya ada
  2. Akaun Perhatian Khas
    • Lazimnya adalah akaun yang dianggap Pinjaman Tidak Berbayar / Non-Performing Loan (NPL) ataupun di bawah jadual pengurusan hutang khas. (Seperti di bawah rundingan AKPK)
  3. Permohonan pinjaman atau kemudahan kredit yang telah dibuat dalam tempoh satu tahun yang lalu
    • Maklumat mengenai kuantiti permohonan yang telah diluluskan atau tidak diluluskan

Apa Itu Perbezaan CTOS Dan CCRIS?

PERBEZAAN CTOS DAN CCRIS
CTOSCCRIS
1. Diselia oleh syarikat swasta1. Diselia oleh Bank Negara Malaysia (BNM)
2. Laporan kredit yang mengandungi informasi seperti bayaran tertunggak dalam pinjaman atau bil utiliti, saman atau tindakan undang-undang  termasuk status muflis serta pemilikan perniagaan2. Laporan kredit yang mempunyai maklumat berkaitan senarai tunggakan pinjaman di institusi kewangan, akaun yang dipantau secara khusu oleh bank dan juga status permohonan pinjaman di bank
3. Laporan kredit disimpan dan kekal sepanjang hayat3. Laporan kredit disimpan dan kekal hanya bagi tempoh 12 bulan terdekat (kecuali akaun perhatian khusus)
4. Sumber perolehan maklumat kredit daripada pelbagai domain awam4. Sumber perolehan maklumat mengenai kredit daripada institusi kewangan termasuklah bank
5. Maklumat kredit perlu dikumpulkan oleh pihak CTOS daripada sumber yang berkenaan5. Maklumat kredit akan dimasukkan secara terus dalam sistem CCRIS setiap kali peminjam membuat pinjaman dari pihak bank

Maklumat Penting CTOS dan CCRIS

CTOS dan CCRIS merupakan laporan kredit yang dikeluarkan oleh dua institusi berbeza mengenai pelaporan kredit seseorang individu. Perlu diingatkan bahawa ia hanyalah laporan pengurusan kewangan seseorang sahaja. Justeru pihak CTOS dan CCRIS tidak mempunyai sebarang kuasa atau hak untuk menyenarai hitam (blaklist) mana-mana individu terbabit. Ianya terpulang kepada institusi kewangan atau syarikat sendiri untuk memberi pinjaman atau kelulusan kredit ataupun sebaliknya berdasarkan pelaporan yang dikeluarkan.

Maklumat Lanjut dan Pertanyaan

Sekiranya mempunyai sebarang pertanyaan dan ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai CTOS dan CCRIS, sila hubungi butiran yang disediakan di bawah:

Semoga perkongsian yang disediakan mengenai perbezaan CTOS dan CCRIS ini dapat memberikan penjelasan lanjut kepada orang ramai. Diharapkan semua individu dapat menjadi peka dan bijak dalam mengurus kewangan masing-masing agar mudah untuk merancang masa depan yang cerah

Tinggalkan Komen

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *