Permohonan Bantuan RM600 PERKESO (Program ERP). Borang permohonan Program Pengekalan Pekerjaan (Employment Retention Programme - ERP) bantuan segera sebanyak RM600 sebulan kepada majikan bagi setiap pekerja yang diminta bercuti tanpa gaji akibat penularan Covid-19.

Permohonan Bantuan RM600 PERKESO Secara Online (Program ERP)

Permohonan Bantuan ERP. Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Bil 1/2020 pada 16 Mac 2020 telah bersetuju untuk mengambil langkah tambahan bagi memperkukuhkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 (PRE2020). Iaitu memberi bantuan kewangan segera (immediate assistance) sebanyak RM600 sebulan kepada pekerja yang terpaksa mengambil Cuti Tanpa Gaji (CTG) melalui Program Pengekalan Pekerjaan (Employment Retention Programme – ERP). Berikut dikongsikan maklumat dan panduan berkaitan permohonan Bantuan RM600 PERKESO secara online buat rujukan mereka yang terlibat.

Program ERP yang dilaksanakan oleh PERKESO bagi membantu majikan yang terjejas akibat Covid-19 yang terpaksa mengambil langkah mengurangkan kos operasi dengan pendekatan mengeluarkan notis CTG kepada pekerja yang terlibat bagi tempoh antara 1 hingga 6 bulan mengikut tempoh notis CTG daripada majikan tersebut.

Permohonan Bantuan RM600 Perkeso erp

Program Pengekalan Pekerjaan (Employment Retention Programme – ERP)

Program Pengekalan Pekerjaan (ERP) ialah bantuan segera (immediate assistance) sebanyak RM600 sebulan kepada majikan bagi setiap pekerja yang diminta bercuti tanpa gaji akibat penularan Covid-19.

Langkah pengenalan ERP secara tidak langsung merupakan salah satu perlindungan keselamatan sosial kepada pekerja. Apabila kehilangan sumber pendapatan kesan daripada keadaan luar jangka (kesan Covid-19) untuk meneruskan kelangsungan kehidupan mereka dan keluarga.

Tarikh kuatkuasa Program Pengekalan Pekerjaan (ERP) adalah mulai 1 Mac 2020 sehingga satu tarikh yang akan ditetapkan oleh PERKESO.

Panduan Permohonan Bantuan RM600 PERKESO

Berikut dikongsikan panduan buat majikan berkenaan tatacara permohonan bantuan kewangan sebanyak RM600 bagi setiap pekerja setiap bulan untuk tempoh maksimum 6 bulan bagi membantu pekerja yang terpaksa mengambil cuti tanpa gaji (CTG) mengikut Program ERP di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 (PRE2020).

Syarat Kelayakan Bantuan RM600 PERKESO

ERP menyediakan bantuan kewangan sementara sebanyak RM600 sebulan pada kadar rata untuk tempoh maksimum 6 bulan kepada mana-mana pekerja dan majikan yang memenuhi syarat kelayakan berikut :-

1. Pekerja yang diberi notis cuti sementara tanpa gaji (unpaid leave) oleh majikan berkuatkuasa mulai 1 Mac 2020

2. Pekerja sektor swasta yang berdaftar dan mencarum dengan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) PERKESO

3. Terhad kepada pekerja yang bergaji RM4,000 dan ke bawah

4. Majikan membuat permohonan bagi pihak pekerja; dan

5. Majikan hendaklah menyalurkan RM600 terus kepada akaun pekerja.

Tatacara Permohonan Bantuan RM600 PERKESO

Untuk makluman, setiap permohonan hendaklah dikemukakan secara online (pautan akan dikemaskini jika disediakan) atau melalui borang permohonan yang dikemukakan kepada mana-mana pejabat PERKESO oleh majikan bagi pihak pekerja yang terlibat dan majikan tersebut hendaklah bertanggungjawab untuk menyalurkan bayaran bulanan RM600 kepada pekerja yang terlibat.

Selain itu, majikan hendaklah mengemukakan permohonan yang lengkap melalui :-

Borang Permohonan ERR C-19 (Lampiran 1) dan

melampirkan dokumen mandatori surat Notis CTG yang mengandungi senarai pekerja terlibat.

Nota: Bagi majikan yang mempunyai lebih daripada 5 pekerja yang terlibat, adalah wajib untuk menggunakan format Excel yang mengandungi maklumat seperti di Para B

Permohonan yang lengkap boleh dihantar melalui emel erpc19@perkeso.qov.my atau melalui online sekiranya sistem online telah dibangunkan

Senarai Pekerja hendaklah mengandungi butiran-butiran berikut:-

Nama Penuh Pekerja

Nombor Kad Pengenalan Warganegara Malaysia (No KPPPN)

Nama Jawatan (job title)

Maklumat Gaji Bulanan Terakhir Pekerja (RM)

Maklumat emel dan no telefon untuk dihubungi

Pengemukaan Borang Permohonan ERR C-19 Program Pengekalan Pekerjaan (Employment Retention Programme) boleh dilakukan melalui emel atau online (sekiranya sistem telah tersedia) yang mana permohonan boleh dikemukakan mulai 20 Mac 2020.

Syarat Liputan Permohonan Bantuan RM600 PERKESO (Program ERP)

Semua majikan sektor swasta yang menggaji pekerja termasuk pekerja sambilan dan telah berdaftar serta sedang mencarum dengan SIP yang bergaji bulanan RM4,000 dan ke bawah sahaja layak diliputi dalam Program ERP.

Pekerja yang telah diberhentikan kerja, pekerja di sektor awam, mereka yang bekerja sendiri (tidak mempunyai majikan) termasuk freelancers, pekerja asing dan pegawai dagang tidak diliputi di bawah program ERP.

Tempoh permulaan liputan Program ERP kepada majikan adalah ke atas mereka yang telah mengeluarkan notis CTG kepada pekerja mulai 1 Mac 2020 sehingga satu tarikh yang akan ditetapkan oleh PERKESO.

Kadar Bayaran dan Tempoh Layak

Kadar bayaran bantuan kewangan adalah bergantung kepada tempoh notis mula CTG. Sekiranya tarikh notis mula CTG adalah sebulan mengikut tarikh tamat CTG tersebut. Bayaran mengikut kadar rata sebanyak RM600 sebulan akan dibayar kepada setiap pekerja yang terlibat.

Sekiranya tempoh notis mula CTG adalah dua (2) bulan mengikut tarikh tamat CTG tersebut. Bayaran mengikut kadar rata sebanyak RM600 bagi setiap bulan akan dibayar kepada setiap pekerja yang terlibat membabitkan perbelanjaan sebanyak RM1,200.

Jumlah kelayakan bagi setiap satu permohonan tempoh notis mula CTG adalah antara 1 bulan hingga maksimum jumlah 6 bulan bergantung kepada notis mula CTG yang dikeluarkan oleh majikan sama ada secara sekali gus atau berturutan.

Majikan yang telah menerima peruntukan bayaran ERR daripada PERKESO secara bulanan. Adalah bertanggungjawab untuk mengkreditkan bayaran bulanan sebanyak RM600 ke dalam akaun bank pekerja yang terlibat dalam masa 7 hari dan tarikh bayaran yang diterima daripada PERKESO.

Majikan yang mengemukakan apa-apa maklumat palsu, tidak benar atau mengelirukan kepada PERKESO atau majikan yang gagal untuk menyalurkan bayaran bulanan tersebut kepada pekerja, boleh menyebabkan permohonan berikutnya digantung dan tindakan undang-undang akan dikenakan ke atas majikan.

Soalan Lazim Permohonan Bantuan RM600 PERKESO

A) Siapakah yang perlu mengemukakan permohonan?

Semua permohonan perlu dikemukakan oleh majikan bagi pihak
pekerja mereka

B) Siapakah yang tidak layak memohon ERP?

Pekerja yang tidak berdaftar dan mencarum dengan SIP, yang bergaji bulanan melebihi RM4,000. Pekerja yang telah diberhentikan kerja, pekerja sektor awam. Mereka yang bekerja sendiri (tidak mempunyai majikan) termasuk freelancers, pekerja asing dan pegawai dagang.

C) Apakah dokumen sokongan yang perlu dikemukakan oleh majikan semasa membuat permohonan ERP?

Surat Notis CTG yang mengandungi senarai pekerja terlibat

Majikan perlu mengisi maklumat lengkap di Borang Permohonan ERP C19 yang akan diedarkan bersama Pekeliling Majikan.

Maklumat Lanjut

Sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi Pegawai Perkhidmatan Pelanggan di talian 1 300 22 8000 atau emel perkeso@perkeso.qov.my.

Untuk mengikuti perkembangan terkini berkaitan SIP dan program ERP, sila layari microsite eiscentre.perkeso.gov.my. Diharapkan perkongsian permohonan Bantuan RM600 PERKESO secara online membantu semua terutamanya yang terjejas akibat wabak Covid-19.

Tinggalkan Komen

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *